PETALING JAYA: Pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kukuh pada awal tahun ini memberi ruang penampan yang positif kepada kadar dividen 2026, kata penganalisis.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pencarum boleh menjangkakan kadar yang kekal kompetitif sekiranya kestabilan pulangan atas pelaburan dapat dikekalkan.
“Namun begitu, saya tidak melihat kita akan melihat lonjakan luar biasa yang hanya berdasarkan kepada prestasi satu suku. Dividen tahunan bergantung kepada prestasi keseluruhan sepanjang tahun dan keuntungan yang benar-benar direalisasikan.
“Dalam suasana pasaran yang semakin tidak menentu, pendekatan terbaik ialah mengekalkan disiplin pelaburan jangka panjang dengan penekanan kepada pengekalan modal.
“Peranan instrumen pendapatan tetap sebagai komponen defensif perlu diperkukuh, manakala kepelbagaian global wajar diteruskan bagi mengimbangi risiko domestik dan luaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, KWSP melaporkan pendapatan pelaburan sebanyak RM27.73 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, meningkat 51 peratus berbanding RM18.31 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi memberangsangkan itu dipacu terutamanya oleh peningkatan pendapatan ekuiti selain strategi awal merealisasikan keuntungan sebelum ketidaktentuan pasaran global meningkat.
Ahmed Razman berkata, fokus utama harus kekal kepada kestabilan dan kemampanan dana persaraan, bukan mengejar pulangan jangka pendek.
“Lonjakan 51 peratus pendapatan pelaburan KWSP pada suku pertama 2026 didorong terutamanya oleh prestasi kukuh ekuiti yang meningkat 88 peratus, selain tindakan awal merealisasikan keuntungan sebelum ketidaktentuan pasaran global meningkat.
‘Lebih separuh daripada pendapatan pelaburan datang daripada pendedahan antarabangsa, menunjukkan bahawa kepelbagaian geografi dan prestasi pasaran global memainkan peranan lebih dominan berbanding faktor domestik semata-mata,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA, Mohd Sedek Jantan berkata, peningkatan pendapatan pelaburan pada awal tahun sememangnya memberi ruang yang lebih baik kepada KWSP untuk mengekalkan kadar dividen yang kompetitif bagi 2026.
Katanya, KWSP berkemungkinan mengekalkan dividen sekitar enam peratus berdasarkan prestasi suku pertama, namun baki tahun ini dijangka jauh lebih mencabar berikutan peningkatan ketidaktentuan global dan volatiliti pasaran kewangan.
“Dalam keadaan ini, aspek peruntukan aset dan diversifikasi portfolio akan memainkan peranan yang sangat kritikal dalam menentukan keupayaan mengekalkan prestasi keseluruhan dana.
“Pergerakan pasaran ekuiti global, hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat (AS) serta risiko geopolitik akan terus mempengaruhi momentum pendapatan pelaburan sepanjang tahun.
“Jadi bagi pencarum, jangkaan yang lebih realistik adalah dividen kekal kukuh dan stabil, dengan fokus utama kepada keupayaan dana untuk mengekalkan pulangan mampan yang mampu mengatasi inflasi dalam jangka panjang,” jelasnya.
Dalam persekitaran pasaran yang semakin tidak menentu, beliau berkata, isu utama bukan semata-mata kepada strategi pelaburan tertentu, tetapi kepada kekuatan struktur pengurusan portfolio dan diversifikasi global yang dimiliki KWSP.
Jelasnya, KWSP sendiri sudah mempunyai pendedahan yang luas melalui penglibatan aktif pengurus dana luar dengan pelbagai mandat pelaburan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pasaran antarabangsa.
“Ini memberi kelebihan dari sudut akses kepada peluang global, kepakaran sektor dan keupayaan mengurus risiko merentas kitaran pasaran yang berbeza.
“Jadi dalam keadaan dunia kini beroperasi dalam persekitaran geopolitik berkos tinggi dan kadar faedah yang kekal tinggi lebih lama, fokus utama adalah bagaimana peruntukan aset dilakukan secara dinamik dan seimbang antara pertumbuhan, pendapatan tetap serta aset defensif,” tambahnya. – UTUSAN










