Rayuan kes Nagaenthran 24 Januari ini - Utusan Malaysia

Rayuan kes Nagaenthran 24 Januari ini

D. Nagaenthran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan Singapura menetapkan sebutan kes warganegara Malaysia, D. Nagaenthran pada 24 Januari ini.

Perkara itu disahkan oleh penasihat Lawyers for Liberty, N. Surendran, setelah pelaksanaan hukuman mati tertuduh ditangguhkan pada 8 November lalu.

Kes itu akan diketuai oleh Ketua Hakim, Sundaresh Menon yang disertai bersama empat panel hakim lain.

Surendran juga mendesak kerajaan Singapura supaya membenarkan peguamnya, M. Ravi untuk terus membela Nagaenthran tanpa sebarang tekanan.

“Kami menggesa badan kehakiman untuk menarik balik arahan mahkamah yang dikeluarkan terhadap Ravi dan memastikan pendengaran yang bebas dan adil bagi permohonan rayuan itu.

“Dunia akan memerhati kes ini dengan teliti dan Singapura mesti bertindak selaras dengan kedaulatan undang-undang, prinsip undang-undang antarabangsa mengenai perbicaraan yang adil dan kewajipannya sendiri sebagai negara pihak kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Orang Kurang Upaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bulan lalu, Presiden Singapura, Halimah Yacob menyampaikan surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa Nagaenthran telah melalui proses undang-undang yang sewajarnya.

Ini sebagai maklum balas kepada Agong yang sebelum ini berkenan menulis surat kepada Presiden Singapura bagi mendapatkan pengampunan terhadap kes Nagaenthran.

Nagaenthran, 33, berasal dari Ipoh, Perak, yang didakwa peguamnya merupakan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika berusia 21 tahun atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diarmorfin seberat 42.72 gram di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika melintasi sempadan Malaysia dan Singapura, dengan dadah itu ditemui dilekatkan di pahanya kirinya.

Tertuduh kemudian dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, yang memperuntukkan hukuman mati terhadap mana-mana individu yang didapati menyeludup dadah melebihi 15 gram.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini berkata, proses rayuan melalui mahkamah sudah pun dibuat sehingga peringkat terakhir iaitu menerusi permohonan Pengampunan Presiden Singapura selaku ketua negara.

Bagaimanapun, permohonan itu telah ditolak secara rasmi pada 1 Jun 2020 lalu dan hukuman mati itu kekal dan akan dilaksanakan di Kompleks Penjara Changi, Singapura pada Rabu, 10 November 2021.

Sejak dijatuhkan hukuman mati, kes Nagaenthran mendapat perhatian meluas di seluruh dunia termasuklah Amnesty International, Human Rights Watch, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia (FID) yang meminta Singapura supaya tidak melaksanakan hukuman mati tersebut, sebaliknya diberikan pengampunan.

Malah, Jaringan Asia bagi Anti Hukuman Mati (ADPAN) yang disertai 28 negara dari rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia dan Singapura berpendapat tertuduh hanya menjadi mangsa sindiket sebagai keldai dadah kerana memiliki IQ serendah 69 serta menghidap gangguan hiperaktiviti defisit perhatian, sekaligus dianggap sebagai OKU. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya