Tidak wajar hukum institusi zakat dengan satu kes- YADIM

Tidak wajar hukum institusi zakat dengan satu kes- YADIM

YADIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak wajar untuk membiarkan satu insiden menenggelamkan sumbangan besar yang sudah dilaksanakan secara konsisten oleh majoriti institusi zakat di negara ini.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, masyarakat tidak boleh terburu-buru menghukum keseluruhan institusi zakat hanya disebabkan satu kes yang membabitkan individu tertentu, baru-baru ini.

Beliau berkata, ini kerana pelbagai institusi zakat di negara ini sudah menunjukkan kejayaan signifikan dalam mengangkat martabat asnaf sehingga mereka mampu berdikari dan akhirnya menjadi pembayar zakat

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adalah tidak wajar untuk membiarkan satu insiden menenggelamkan sumbangan besar yang sudah dilaksanakan secara konsisten oleh majoriti institusi zakat di negara ini.

“Sebagai contoh, Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui program pembangunan usahawan asnaf melahirkan ramai penerima zakat yang berjaya membina perniagaan sendiri dalam bidang makanan dan perkhidmatan.

“Kejayaan itu membolehkan golongan terbabit keluar daripada kategori asnaf dan kembali menyumbang sebagai pembayar zakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Hasan berkata, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) turut melaksanakan pelbagai skim bantuan pendidikan dan keusahawanan sehingga melahirkan graduan serta usahawan dalam kalangan asnaf yang kini mampu menjana pendapatan stabil.

“Keadaan ini membuktikan institusi zakat bukan sekadar mekanisme bantuan jangka pendek, sebaliknya instrumen pembangunan ummah yang strategik dan berimpak tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, dalam kerangka Malaysia MADANI yang menekankan nilai amanah, ihsan dan integriti, pendekatan adil serta seimbang amat penting.

Katanya, langkah itu bagi memastikan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terhakis akibat persepsi yang tidak menyeluruh.

“Zakat adalah tonggak utama dalam sistem sosioekonomi Islam yang terbukti memberi impak besar kepada kehidupan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini