KUSKOP kemuka empat cadangan hadapi krisis bekalan global

KUSKOP kemuka empat cadangan hadapi krisis bekalan global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengemukakan empat cadangan utama bagi memperkasa aktiviti perniagaan gerakan koperasi supaya terus membantu rakyat menghadapi krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat.

KUSKOP dalam kenyataan berkata, antaranya ialah memperluaskan penggunaan diesel dan petrol bersubsidi kepada koperasi bagi menyokong operasi harian seperti logistik, pengangkutan dan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.

Katanya, kenderaan milik koperasi yang dicadangkan untuk menerima subsidi adalah kenderaan utiliti seperti trak pikap bagi logistik dan penghantaran barang, penjana kuasa (genset) untuk operasi di kawasan luar bandar atau tanpa bekalan lektrik stabil dan bot penumpang bagi pengangkutan air.

“Selain itu, Perluasan penglibatan CoopMart di seluruh negara sebagai rakan niaga dalam Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membolehkan rakyat menebus barangan keperluan asas menggunakan kad pengenalan di kedai koperasi. 

“Setakat ini, hampir 240 koperasi telah berdaftar dalam jaringan SARA dan sasaran semasa adalah untuk menambah 500 lagi koperasi ke dalam program ini. Langkah ini bukan sahaja memudahkan rakyat malah membantu meningkatkan jualan koperasi di seluruh negara.

“Yang ketiga, pelaksanaan program “Business School in School” bagi mendedahkan pelajar sekolah menengah kepada asas perniagaan sejak awal. Sehingga kini, hampir 70 peratus daripada 2,623 CoopMart beroperasi di dalam sekolah. 

“Penglibatan pelajar dalam program ini akan diiktiraf di dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) sebagai markah merit. Pensijilan juga akan dikeluarkan oleh Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah KUSKOP, selain itu, pelaksanaan inisiatif koperasi sebagai self collection point bagi platform e-dagang seperti Shopee. 

“Tahun ini, KUSKOP menyasarkan 100 premis koperasi menyertai inisiatif ini. Setakat ini, 25 premis telah mewujudkan kemudahan ini, manakala 61 lagi dalam proses saringan Shopee. 

“Inisiatif ini membolehkan koperasi menjana pendapatan tambahan melalui kutipan bungkusan, meningkatkan trafik pelanggan serta merancakkan jualan runcit tanpa kos permulaan,” katanya.

Terdahulu, Menteri KUSKOP, Steven Sim Chee Keong hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) di Menara Kembar Bank Rakyat.

Turut hadir, pengurusan tertinggi KUSKOP, ketua-ketua agensi di bawah KUSKOP serta 36 wakil terdiri daripada 14 Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio koperasi, sembilan wakil gerakan koperasi, tiga wakil akademik dan dua wakil industri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN