KUSKOP, MITI diminta dapatkan maklum balas BDR sektor swasta

KUSKOP, MITI diminta dapatkan maklum balas BDR sektor swasta

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan diminta mendapatkan maklum balas syarikat swasta berhubung kemungkinan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) susulan keadaan jerebu luar biasa ketika ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan turut dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan bagi meneliti kemampuan syarikat swasta melaksanakan dasar berkenaan, termasuk kekangan yang mungkin dihadapi.

Beliau berkata, kerajaan mahu mendapatkan gambaran jelas daripada sektor swasta mengenai kebolehlaksanaan BDR ketika beberapa sekolah ditutup berikutan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita akan minta KUSKOP dan MITI berurusan dengan atau mendapatkan maklum balas daripada syarikat-syarikat swasta, terutama berkaitan dasar bekerja dari rumah,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen, hari ini.

Fahmi berkata, dasar BDR ketika ini sudah terpakai kepada penjawat awam, manakala sektor swasta sebelum ini turut digalakkan melaksanakan pendekatan sama susulan konflik di Asia Barat.

“Penjawat awam, memang waktu ini dasar bekerja dari rumah memang terpakai. Dan untuk mungkin sektor swasta, pihak kerajaan memang sewaktu mulanya perang di Asia Barat, sektor swasta telah digalakkan untuk turut mengadakan dasar bekerja dari rumah. 

“Saya akan bangkitkan dalam Inha Allah Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu depan perkara ini, sama ada syarikat-syarikat swasta mampu untuk melaksanakan ataupun sekiranya mereka ada apa-apa kekangan. 

“Cuma, keadaan jerebu pada ketika ini memang agak luar biasa. Dan kita juga mengambil maklum pihak KPM perlu menguruskan berdasarkan data daripada pihak NRES dan Jabatan Meteorologi yang mungkin terkini. Keadaan jerebu hari ini, pada saat ini dan pagi esok mungkin sangat berbeza,” katanya.

Mengulas penutupan beberapa sekolah, beliau berkata, tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) perlu dilihat berdasarkan keadaan jerebu ketika ini yang disifatkannya luar biasa susulan fenomena El Niño Super.

Katanya, kerajaan mengambil maklum bahawa keputusan berkaitan sekolah perlu dibuat berdasarkan data terkini daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Keadaan jerebu hari ini, pada saat ini dan pagi esok mungkin sangat berbeza,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini