Projek ECRL bakal capai 37 peratus - Utusan Malaysia

Projek ECRL bakal capai 37 peratus

DARWIS Abdul Razak (tengah) menyampaikan beg sekolah kepada wakil penduduk B40 dalam program Mesra ECRL di Kota Bharu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dijangka mencapai kemajuan sebanyak 37 peratus tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, proses pengambilan tanah di Kelantan telah selesai manakala di Pahang dan Terengganu sedang dijalankan dan Selangor pula akan dilaksanakan secepat mungkin. 

Katanya, mengenai kerja-kerja pembinaan ECRL di Kelantan, sebanyak 16.34 peratus bagi kerja-kerja infrastruktur telah mencatat kemajuan setakat Disember tahun lalu melibatkan 18 lokasi.

“Pihak MRL optimis projek ECRL di negeri ini yang merangkumi jajaran sepanjang 43.86 kilometer akan siap dibina mengikut jadual pada akhir tahun 2026.

“Jumlah tenaga kerja bagi projek ECRL di Kelantan setakat ini seramai 672 pekerja yang mana 73 peratus terdiri daripada warga tempatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Program Mesra ECRL di Dewan Kasturi, Pusat Inovasi Kraf Batik, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Kelantan.

Mengenai Program Mesra ECRL, Darwis berkata, program diadakan selama dua hari di Kelantan bermula hari ini, merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyantuni ekonomi setempat, sosial, rakyat dan alam sekitar.

“Pada program ini, kita turut mengadakan temuduga terbuka bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) membabitkan jawatan sebagai juruteknik tapak binaan dan mekanik mesin jentera berat,” katanya.

ECRL sepanjang 665 kilometer merangkumi 59 terowong serta beberapa jejambat dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion dan dijadual siap pada Disember 2026. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.