Premis kitar semula kayu dikompaun lakukan pembakaran terbuka - Utusan Malaysia

Premis kitar semula kayu dikompaun lakukan pembakaran terbuka

SEBUAH premis kitar semula kayu palet terpakai di Juru Estate, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dikompaun RM4,000 selepas didapati melakukan aktiviti pembakaran terbuka semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Sebuah premis kitar semula kayu palet terpakai di Juru Estate dekat sini dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri selepas didapati melakukan aktiviti pembakaran terbuka semalam.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, premis itu diserbu selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam.

Menurutnya, premis yang menjalankan perniagaan membeli dan menjual pelet kayu terpakai itu didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu membenar dan menyebabkan pembakaran terbuka ke atas pelet-palet kayu di dalam kawasan premis.

“Kompaun berjumlah RM4,000 telah dikenakan ke atas syarikat tersebut atas kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang berkenaan.

“Syarikat-syarikat yang menghantar pelet kayu untuk kitar semula juga digesa untuk memeriksa premis penerima bagi memastikan bahan yang dihantar benar-benar dikitar semula dan bukan dilupuskan secara pembakaran terbuka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, JAS memandang serius isu pembakaran terbuka dan tindakan yang lebih tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan sama.

Tegas beliau, pihaknya juga telah mengaktifkan beberapa pasukan rondaan selepas waktu bekerja bagi mencegah pencemaran dan pembakaran terbuka.

Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat pencemaran alam sekitar berkaitan bidang kuasa JAS boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau laman sesawang e-Aduan di pautan https://eaduan.doe.gov.my/ untuk tindakan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN