Penyatuan Melayu penting demi rakyat, kestabilan negara

Penyatuan Melayu penting demi rakyat, kestabilan negara

LAPORAN Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyatuan Melayu penting demi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara serta menjamin kestabilan negara selaras Perlembagaan Per­sekutuan yang melindungi hak keistimewaan orang Melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyatuan dalam kala­ngan orang Melayu amat dikehendaki dan perlu dilihat dalam konteks lebih besar walaupun masing-masing berbeza fahaman politik.

Katanya, sesuatu cadangan atau dasar yang baik tidak wajar ditolak hanya kerana ia dibawa oleh parti politik tertentu sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kesan positif kepada rakyat dan masa depan negara.

“Bagaimanapun, penyatuan Melayu bukan bermakna perlu wujud satu parti politik Melayu. Tetapi perkara yang baik dan memberi manfaat kepada Melayu dan negara, semua pihak perlu bersama menyokong, bukan menolak hanya kerana melihat siapa yang membawa idea tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam dan orang Melayu di negara ini agar terus bersatu padu serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan bangsa dan menimbulkan keresahan rakyat.

Sementara itu, Timbalan Pre­siden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru semua pihak menghormati mana-mana titah yang melibatkan kepenti­ngan agama, bangsa dan institusi diraja.

“Semua pihak perlu menghormati titah. Tindakan beberapa pemimpin DAP yang terus mempertikaikan perkara berkaitan jelas menunjukkan sikap tidak menghormati kehendak Sultan Selangor walaupun titah berke­naan mempunyai asas yang kukuh demi menjaga keharmonian serta kestabilan negeri.

“Kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Selangor tidak boleh mengambil sikap berdiam diri atau tunduk kepada tekanan politik sehingga gagal melaksanakan titah baginda,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, seruan pe­nyatuan Melayu tidak seharus­nya dilihat dalam konteks politik sempit dan sentimen perkauman, sebaliknya difahami sebagai sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kecenderungan segelintir pemimpin politik mengeksploitasi isu kaum, agama dan institusi diraja berpotensi menghakis kefahaman rakyat terhadap semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, perpaduan Melayu merupakan asas kepada keutuhan prinsip dan jati diri Perlembagaan kerana melibatkan institusi diraja, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

“Jika orang Melayu terus berpecah akibat persaingan politik sehingga gagal mempertahankan asas kenegaraan, elemen struktur asas Perlembagaan dikhuatiri semakin tercabar dan akhirnya melemahkan kestabilan negara dalam jangka panjang,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN