12 alat letupan buatan sendiri ditemukan di Pattani

12 alat letupan buatan sendiri ditemukan di Pattani

SALAH satu daripada 12 alat letupan buatan sendiri yang ditemukan di kawasan Kompleks Industri Makanan Halal Wilayah Pattani di Daerah Panare, Narathiwat, Thailand. – IHSAN ISOC 4
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PATTANI (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand menemukan sebanyak 12 alat letupan buatan sendiri (IED) disembunyikan dalam tiga bangunan sekitar Kompleks Promosi Industri Makanan Halal Wilayah Pattani di Daerah Panare di sini.

Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, penemuan itu adalah hasil pemeriksaan menyeluruh sejak tiga hari lalu susulan satu letupan yang berlaku di salah sebuah bangunan di kompleks yang terletak di Mukim Ban Nam Bo, Panare pada 15 Mei lalu.

Katanya, Pasukan Pemusnah Bom dan Bahagian Forensik Polis Wilayah Pattani menggunakan dron, robot dan anjing pengesan ketika melakukan pemeriksaan di tiga bangunan kompleks berkenaan sejak 19 Mei lepas sebelum menemukan 12 IED yang tidak meletup.

“Hasil pemeriksaan teliti dan menyeluruh bermula pukul 10 pagi Selasa lalumenemukan 12 IED dalam tiga bangunan manakala dua lagi di sekitar kawasan kompleks berkenaan.

“Semua bahan letupan itu diisi dalam kotak logam dan menggunakan pemasa digital tetapi gagal meletup. Ia kemudian dimatikan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sumber itu berkata, pelaku menggunakan teknologi canggih iaitu pemasa undur digital membolehkan letupan serentak dan mengelakkan gangguan isyarat transmisi pihak berkuasa.

“Ini bukan pemasa mudah yang terdapat pada jam tangan atau telefon bimbit. Siasatan juga mendapati dua bom tidak meletup bukan disebabkan kelemahan pemasangan tetapi disengajakan bagi meme­rangkap anggota pasukan ke­selamatan yang menjalankan siasatan forensik,” katanya.

Sumber itu berkata, pe­nemuan 12 IED berkenaan menunjukkan kumpulan ekstremis di kawasan terbabit cuba mencetuskan satu situasi besar iaitu mendatangkan kerosakan struktur yang teruk dalam satu kawasan.

Menurutnya, rekod sebelum ini menunjukkan lebih 17 letupan berlaku dalam tempoh beberapa jam namun ia melibatkan beberapa bandar dan zon ekonomi di Wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala.

“Tetapi yang ini (12 IED) adalah cubaan memusnahkan ba­ngunan dan mendatangkan kecederaan dalam satu kawasan kompleks. Ini adalah satu operasi berskala besar kumpulan ganas,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN