BEIRUT: Israel melancarkan serangan udara baharu di Lubnan pada Sabtu selepas serangan terdahulu mengorbankan 10 orang, dengan menyasarkan kawasan berhampiran sempadan Syria.
Agensi Berita Kebangsaan (NNA) milik kerajaan melaporkan, terdapat lima serangan udara Israel sejurus sebelum tengah malam di kawasan pergunungan Nabi Sreij di pinggir Brital, yang sebelum ini tidak diserang sejak gencatan senjata dengan Hezbollah pada 17 April lalu.
Seorang wartawan AFP di bandar selatan Tyre melaporkan terdengar dua letupan apabila sebuah bangunan di pinggir bandar itu diserang, diikuti satu lagi serangan di dalam bandar, menyebabkan kepulan asap tebal memenuhi ruang udara.
Terdahulu, anggota penyelamat pertahanan awam dan polis perbandaran bertungkus-lumus memindahkan penduduk dari kawasan kejiranan itu dengan menggunakan pembesar suara bagi menggesa mereka meninggalkan lokasi.
Tentera Israel sebelum itu mengeluarkan dua amaran pemindahan menerusi jurucakap berbahasa Arabnya, Avichay Adraee, termasuk untuk penduduk kampung Burj Rahal di Lubnan, dengan mendakwa tenteranya sedang menjalankan operasi terhadap Hizbullah.
Penduduk di dua kawasan di Tyre turut diarahkan meninggalkan kawasan masing-masing kerana didakwa ‘terletak berhampiran kemudahan Hizbullah yang bakal menjadi sasaran operasi’ tentera Israel, kata Adraee menerusi X.
Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan serangan Israel pada Jumaat mengorbankan 10 orang, termasuk enam anggota penyelamat dan seorang kanak-kanak, dalam siri berterusan pertukaran serangan.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata ‘enam individu syahid’, termasuk dua anggota penyelamat daripada persatuan Risala Scouts serta seorang kanak-kanak perempuan warga Syria, dalam serangan ke atas kampung Deir Qanun al-Nahr berhampiran bandar Tyre.
Persatuan itu mempunyai kaitan dengan pergerakan Amal yang bersekutu dengan Hizbullah.
Satu lagi serangan terdahulu di bandar Hanaway di selatan Lubnan pada Jumaat turut mengorbankan empat anggota penyelamat daripada Jawatankuasa Kesihatan Islam yang mempunyai hubungan dengan Hizbullah, menurut kementerian berkenaan.
Secara berasingan, tentera Israel memaklumkan awal pagi Jumaat bahawa pihaknya membunuh dua individu berhampiran kawasan sempadan.
“Pemantauan IDF mengenal pasti dua individu bersenjata bergerak dalam keadaan mencurigakan beberapa ratus meter dari wilayah Israel di selatan Lubnan,” menurut kenyataan tentera Israel di Telegram.
“Susulan pengesanan dan pemantauan berterusan oleh IDF, kedua-dua individu bersenjata itu diserang dan dibunuh menerusi serangan udara,” menurut kenyataan itu lagi.- AFP










