PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menempatkan kakitangan yang dilengkapi peranti mudah alih untuk mengimbas tag sebagai langkah segera mengatasi masalah pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Langkah itu susulan maklum balas dan pandangan orang ramai terhadap pelaksanaan sistem itu dengan penambahbaikan dilakukan PLUS bagi memastikan perjalanan pengguna lancar.
Ketua Perhubungan Libat Urus Strategiknya, Syed Mohammed Idid berkata, mengenai isu kesesakan yang timbul di plaza tol berpunca daripada masalah pengesanan di lorong RFID, pihaknya sedia maklum dan akan melakukan tindakan segera.
Menurutnya, pelanggan tidak perlu risau jika masalah dan isu mengenai RFID terus berulang kerana PLUS sudah menempatkan kakitangan mereka yang dilengkapi peranti mudah alih untuk mengimbas tag sistem tersebut.
“Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat pemasangan Touch ‘n Go (TnG) yang terdekat disediakan. Jika tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, TnG menggantikan tag itu secara percuma.
“PLUS juga meningkatkan keterlihatan papan tanda arah untuk meningkatkan pengenalan lorong RFID. Pelanggan lebuh raya disaran memastikan penggunaan lorong yang betul mengikut panduan pada papan tanda yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pelaksanaan transaksi tol menggunakan teknologi RFID adalah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi PLUS, dengan RFID dibekalkan oleh syarikat Touch N Go.
Ia merupakan projek rintis dengan sebelum ini RFID untuk kawasan dalam bandar sudah pun dilaksanakan, manakala mula dilaksanakan PLUS di peringkat Lebuhraya Utara-Selatan.
Syed Mohammed berkata, PLUS mencatatkan kadar migrasi yang menggalakkan sebanyak 10 peratus transaksi RFID selepas ia dilaksanakan di seluruh lebuhraya PLUS hujung minggu lalu.
Jelasnya, PLUS berharap sistem RFID diterima baik selari dengan peredaran masa dan perkembangan dunia yang pesat dengan teknologi bagi memastikan perjalanan lebih lancar serta menyeronokkan.
“Berharap dengan peningkatan penghijrahan pembayaran tol menerusi RFID, yang sejajar dengan gaya hidup digital pembayaran tanpa sentuh hari ini dan e-Dompet, akan membawa pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan menyeronokkan,” ujanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari lalu.
Susulan itu, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof semalam mahu PLUS dan Touch ‘n Go Group supaya menyelesaikan semua isu yang timbul berkaitan teknologi RFID dengan segera.
Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya sudah memanggil PLUS dan Touch ‘n Go bagi memastikan supaya semua isu berhubung kait dengan pelaksanaan RFID dapat diselesaikan secepat mungkin. – UTUSAN ONLINE