KUCHING: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia pada 8 Oktober lalu di Hospital Umum Sarawak (HUS) didapati positif Influenza A, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Namun, katanya punca sebenar kematian masih dalam siasatan lanjut oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Menjelas lanjut, KKM berkata siasatan awal mendapati pesakit mula mengalami demam panas pada 5 Oktober dan telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta pada 6 Oktober.
Katanya dalam perjalanan pulang dari klinik, pesakit telah mengalami sawan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan dan oleh kerana keadaan kes yang kritikal, dia telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU).
Bagaimanapun, KKM berkata pesakit tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 8 Oktober.
“Hasil siasatan awal mendapati punca kematian adalah radang otak (ensefalitis) yang boleh disebabkan oleh pelbagai jenis virus.
“Pelbagai ujian makmal telah dijalankan bagi menentukan punca kematian dan antara keputusan makmal yang didapati positif adalah Influenza A, namun punca sebenar kematian masih dalam siasatan lanjut oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
“KKM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan mereka tabah menghadapi kehilangan ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Justeru, KKM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap jangkitan Influenza, khususnya semasa musim peningkatan kes.
Katanya secara umum, influenza boleh pulih tanpa rawatan khusus namun individu yang mengalami gejala seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan atau keletihan dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran terutama bagi kanak-kanak dan individu berisiko tinggi bagi mengelakkan komplikasi serius.
Tambahnya orang ramai juga digalakkan untuk mengamalkan etika batuk yang betul, menjaga kebersihan tangan dengan kerap, mengelakkan berada di tempat sesak jika bergejala, serta memakai pelitup muka sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan sebagai langkah pencegahan dan perlindungan kepada orang lain.
KKM akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekang penularan jangkitan Influenza.
“Orang ramai diseru untuk terus peka terhadap kesihatan diri dan keluarga serta mengamalkan langkah pencegahan kendiri bagi mengurangkan risiko jangkitan. – UTUSAN










