PETALING JAYA: Dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di sebuah rumah kedai Jalan PJS 8/2, Bandar Sunway di sini hari ini.
Kedua-dua suspek dibawa oleh sepasukan polis ke premis berkenaan bagi membantu siasatan serta proses pengumpulan bukti selepas ditahan kira-kira pukul 8 malam tadi.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa dibawa ke lokasi terbabit untuk satu “rundingan” yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah sebelum dipukul sehingga meninggal dunia.
Mangsa yang berusia sekitar 40-an dipercayai maut di dalam premis yang dijadikan pusat hiburan kira-kira pukul 3 petang semalam.
Seorang saksi memaklumkan, mangsa telah dibawa ke premis berkenaan yang dipercayai digunakan sebagai tempat hiburan sebelum kejadian berlaku.
Katanya, selepas mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sebelum seorang individu dipercayai mengarahkan pengiring wanita di lokasi kejadian meninggalkan premis serta menanggalkan kamera litar tertutup (CCTV) dan menghubungi polis.
“Susulan laporan itu, polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum mayat mangsa dibawa ke hospital kira-kira pukul 5 petang tadi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia mendapatkan pengesahan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya berhubung perkara itu masih dijalankan. – UTUSAN










