BATU PAHAT: Perdana Menteri mendedahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kerap ‘ponteng’ mesyuarat dan menganggap ia sebagai tidak penting.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau kerap memanggil kepimpinan Kerajaan Negeri seluruh Malaysia untuk berbincang, bagi mengatasi masalah yang dihadapi rakyat.
Menurut beliau, Onn Hafiz memandang ringan mesyuarat berkenaan hingga tidak menghadirkan diri ke Kuala Lumpur.
“Dua hari lalu kita panggil mesyuarat di Kuala Lumpur, Premier Sarawak datang, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri datang tapi kadang-kadang Johor, dia ingat itu tidak penting.
“Banyak kali mesyuarat, satu saja Menteri Besar Johor datang. Ini apa pasal? kita nak bincang masalah rakyat, bagaimana nak bangunkan negara,” katanya ketika berucap di program Yok! Merahkan Johor! Undi Harapan di Banang Jaya, di sini hari ini.
Anwar turut menitip pesanan kepada golongan muda di Johor menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu ini.
“Jadi saya harap anak-anak muda ingat Melayu tidak rugi kalau pemimpin itu berprinsip, Melayu itu rugi kalau pemimpin itu korup dan sombong, ada peluang dia sapu, itu rugi,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyeru rakyat untuk menolak Barisan Nasional (BN) yang didakwanya sombong kerana secara terburu-buru memanggil pilihan raya.
“Saya beritahu kerajaan di Johor, tunggulah, jangan cepat sangat supaya kita kerja tapi mereka tidak mahu, kononnya kami mesti menang, BN mesti menang 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kita kena buat cepat
“Tolong ajar dia, jangan cakap sombong, bagi dia kalah,” katanya. – UTUSAN










