KAWASAN Hutan Melintang di bawah Parlimen Bagan Datuk, Perak kini menyaksikan pelbagai pembangunan pesat melibatkan infrastruktur, ekonomi, pendidikan serta kemudahan sosial bagi manfaat penduduk setempat.
Pembangunan infrastruktur antara kemudahan asas menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, S. Wasanthee, 58, dari PKR sejak menjadi wakil rakyat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.
Wasanthee berkata, pelbagai usaha dijalankan termasuk pemasangan lampu jalan di kawasan gelap serta kerja penurapan jalan.
“Dahulu jalan dari Sabak Bernam ke Hutan Melintang bagaikan roller coaster, tetapi kini sudah lebih baik hasil kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR),” ujarnya.
Daripada sudut ekonomi, katanya, sektor perikanan kekal sebagai nadi utama kawasan itu namun perladangan koko, kelapa sawit dan kelapa juga giat diusahakan.
“Bagan Datuk memang terkenal dengan tanaman kelapa dan kita mahu terus perbanyakkan produk berasaskan kelapa.
“Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kerana berkongsi visi untuk menaik taraf penanaman kelapa di sini, termasuk cadangan mewujudkan lembaga kelapa khas,” katanya.

BIODATA
Wasanthee Sinnasamy
Umur: 58 tahun
Jawatan: ADUN Hutan Melintang
Tempat Tinggal: Hutan Melintang
Pendidikan
Sek. Men Sultan Ibrahim, Kulai Johor 1986, Sek. Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai Johor 1984
Anglia Ruskin University Cyberjaya 2019, Annamalai University, India 2018, Universiti Malaya Kuala Lumpur 2007.
Penglibatan dalam Politik
Naib Ketua Wanita 1 PKR 2022 hingga 2025 di Merchant Square, Petaling Jaya
Ketua Wanita Negeri Melaka MPN 2019 hingga 2022.
Naib Ketua Wanita 3 PKR di Merchant Square Petaling Jaya 2018 hingga 2021
Exco Wanita Negeri Selangor PKR Cabang Kuala Selangor 2009.
Timbalan Ketua Wanita Ranting PKR Ranting Saujana Utama, Selangor 2008 hingga 2009.
Selain itu, projek Pusat Industri Perikanan Antarabangsa bernilai RM2 bilion dijangka dibangunkan di kawasan itu sekali gus berpotensi membuka kira-kira 5,500 peluang pekerjaan.
“Kita juga dalam proses membangunkan ladang ayam seluas 50 ekar di Seri Perkasa dan kerja awal telah bermula,” katanya.
Dalam bidang pendidikan, Wasanthee berkata, sekolah-sekolah di Bagan Datuk antara yang terbaik di Perak dan pelbagai bantuan kebajikan telah disalurkan.
“Antaranya sumbangan uniform, penambahbaikan infrastruktur sekolah, pemasangan kipas besar serta pemberian mesin penapis air bagi memastikan murid mendapat bekalan air bersih di sekolah.
“Sekolah Jenis Kebangsaan Bharathi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang antara penerima manfaat tersebut,” katanya.
Usaha memperkasa usahawan kecil terus dilakukan melalui program dan kursus serta penyediaan pusat penjaja yang lebih tersusun selain bantuan peralatan perniagaan.
Menyentuh pembangunan infrastruktur besar, Wasanthee berkata, kerja awal bagi pembinaan jejambat (flyover) dari Sabak Bernam serta projek menaik taraf laluan utama FT009 dari Simpang
Empat Hutan Melintang ke Parit 19, Bagan Datuk sedang dilaksanakan.
RAKYAT JADI KEUTAMAAN
Setiap dasar, program dan tindakan berpaksikan kepada keperluan rakyat setempat, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang menjadi keutamaan Wasanthee.
Keterbukaan dan ketelusan menjadi amalan beliau dalam mendengar suara rakyat melalui sesi dialog, mesyuarat komuniti, dan libat urus secara berterusan.
Baginya, ketelusan dalam pengurusan dana, peruntukan dan projek supaya rakyat yakin terhadap integriti kepimpinan.
“Mengamalkan pendekatan turun padang menerusi program walkabout, gotong royong, lawatan kampung supaya permasalahan rakyat difahami secara langsung.
“Saya sentiasa ada untuk rakyat, falsafah saya wakil rakyat bukan hanya hadir ketika pilihan raya, tetapi konsisten sepanjang penggal.
“Saya mahu menjadi jambatan penyatuan antara masyarakat berbilang kaum di Hutan Melintang. Mengutamakan semangat kerjasama komuniti untuk mengelakkan perpecahan,” katanya.
Baginya, keperluan rakyat sangat diutamakan terutamanya untuk projek infrastruktur, bantuan kebajikan dan pembangunan ekonomi.
“Kawasan luar bandar dan pesisir seperti Hutan Melintang menghadapi isu unik iaitu nelayan, petani, pekerja ladang, serta masyarakat bandar kecil.
“Isu pekerjaan, kos sara hidup, akses pendidikan dan kesihatan masih berbeza mengikut kelompok masyarakat. Harapan tinggi rakyat mahukan perubahan segera, tetapi proses pentadbiran dan
birokrasi sering mengambil masa panjang,” katanya.
MENANGANI ISU SOSIAL
Menjadi wakil rakyat bukan semata-mata tentang menggubal dasar tetapi juga menyantuni rakyat secara harian iaitu satu pendekatan yang ditekankan oleh Wasanthee sejak hari pertama beliau berkhidmat.
“Saya bukan wakil rakyat musim pilihan raya sahaja malah pusat khidmat saya dibuka setiap hari, bukan seminggu sekali. Setiap hari ada lebih 50 orang datang yang bawa masalah, mohon bantuan, minta nasihat,” katanya.
Beliau turut menggerakkan gotong-royong melibatkan pelbagai jabatan kerajaan untuk menangani masalah denggi, banjir kilat dan parit tersumbat iaitu antara isu yang sering mengganggu kehidupan penduduk, terutama di kawasan rendah dan kampung nelayan.
Langkah proaktif turut diambil melalui pemasangan lampu solar, delineator keselamatan jalan, pembinaan jeti terapung di Batu 8 dan pemindahan pasar awam ke lokasi lebih strategik.
Wasanthee tidak menafikan antara cabaran paling besar dihadapi adalah jurang antara harapan rakyat dan keupayaan pentadbiran untuk menyalurkan peruntukan dalam masa yang cepat.
“Rakyat mahu melihat perubahan segera, tapi banyak proses pentadbiran ambil masa panjang. Ini bukan soal tidak mahu buat, tetapi perlu ikut prosedur, ada projek yang memakan masa
berbulan malah bertahun untuk diluluskan,” katanya. – UTUSAN










