Pasta salai, kopi kampung menu istimewa di Kupi dan Ghuti

Pasta salai, kopi kampung menu istimewa di Kupi dan Ghuti

NURFADILLA Kamal Shah, menunjukkan hidangan pasta daging salai masak lemak cili api dan smoked duck pasta yang dijual di kafenya di Kampung Terachi, Kuala Pilah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA berkunjung ke Kuala Pilah, pasti ramai yang akan mencari keenakan masak lemak cili api yang menjadi menu kebanggaan masyarakat Negeri Sembilan.

Namun, di Kampung Terachi, sebuah kafe kecil iaitu, Kupi dan Ghuti tampil dengan kelainan menerusi hidangan pasta daging salai masak lemak cili api yang jarang ditemui di tempat lain.

 

Siapa menyangka, masak lemak cili api biasanya dinikmati dengan nasi, tetapi kali ini diolah dengan sentuhan barat yang pasti memberi pengalaman baharu buat pengunjung.
Pemiliknya, Nurfadilla Kamal Shah, 43, berkata, gabungan masakan tradisional Negeri Sembilan dengan sentuhan barat itu nyata mendapat sambutan, khususnya dalam kalangan pengunjung yang mahu mencuba sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan.

Kupi & Ghuti
Lokasi: No.29B Kampung Terachi, Jalan Kuala Pilah-Seremban
Waktu operasi: 2 petang -7 malam setiap hari (tutup Jumaat)
Sajian: Gabungan barat dan tradisional

 

“Pada awalnya, emak saya menjual set nasi dengan lauk masak lemak cili api, saya cuba cari kelainan. Orang luar mungkin tidak mahu makan nasi, jadi saya cuba sediakan pasta dan gabungkan antara tradisional dan barat.

“Alhamdulillah, eksperimen itu menjadi dan dapat sambutan yang mengalakkan. Ramai pengunjung cakap tidak sangka masak lemak cili api boleh masuk dengan pasta. Mereka suka sebab rasa tetap asli macam lauk kampung, Cuma hidangannya sahaja yang berbeza, ” katanya kepada Mingguan Malaysia di kafe Kupi dan Ghuti miliknya di Terachi, Kuala Pilah.

Selain pasta masak lemak cili api daging salai, Nurfadilla turut menampilkan menu unik smoked duck pasta yang diolah dengan sedikit kepedasan bagi menepati cita rasa masyarakat tempatan serta masakan panas yang disediakan oleh ibunya.

“Semua bahan salai, daging dan itik di sini memang kami salai sendiri. Emak uruskan proses itu, sebab itu rasanya lebih asli dan kualitinya lebih terjaga kerana sentuhan orang lama,” katanya.

Selain hidangan berat, kafe ini turut menyediakan menu ringan seperti cekodok ikan bilis, lempeng sardin dan kuih tradisional antaranya adalah kuih sopang yang sinonim dengan masyarakat di sini.

Daripada segi harga, pelanggan boleh menikmati pasta dengan hanya RM 15 sepinggan, RM6 untuk lempeng sardin manakala RM 5 bagi sepiring cekodok ikan bilis.

“Saya tidak mahu meletakkan harga tinggi. Biarlah semua lapisan masyarakat boleh merasa. Apa yang penting pelanggan puas hati dan kedai terus jadi tempat orang berkum­pul,”katanya

Lebih menarik, Nurfadilla turut menghidangkan kopi kampung resipi turun-temurun arwah datuk yang pernah berniaga di tapak sama.

Katanya, setiap cawan kopi pekat beraroma itu pula dihidangkan bersama biskut kecil, yang menjadikan pengalaman menikmatinya terasa lebih santai.

Dengan suasana kampung yang damai, pelanggan dapat merasai pengalaman seolah-olah berada di beranda rumah sendiri sambil menghirup kopi panas bersama biskut.

“Sebenarnya, dulu tapak kafe saya adalah kedai kopi arwah datuk. Masa itu, dia membungkus air dengan tin dan diikat bersama tali. Selain itu, kopi bersama biskut kecil itu sebenarnya memang trademark dia.

“Cawan lama pun saya guna semula untuk kekalkan nostalgia. Selain biskut kecil, saya juga menyediakan biskut ‘lutut’ untuk pelanggan yang ingin mencicah biskut bersama kopi,” katanya.

Bagi penggemar tegar, Nurfadilla turut menyediakan kopi kampung dalam bungkusan 100 gram untuk dibawa pulang.

“Ramai pelanggan yang tanya, kopi ini sedap sangat, boleh beli? Jadi, saya sediakan dalam bentuk paket untuk mereka bawa balik.

“Se­tiap 100 gram dijual dengan harga RM5, dan saya akan terangkan cara bancuhannya supaya rasanya tetap sama macam minum di sini,” terangnya.

Dalam pada itu, dia turut menyediakan pilihan kopi moden menggunakan mesin seperti latte dan matcha, bagi memenuhi selera golongan muda yang lebih gemar cita rasa kafe urban.

Menurut Nurfadilla, kebanyakan yang berkunjung ke kafenya adalah orang luar Negeri Sembilan termasuk dari Selangor dan Melaka.

Tambahnya, ramai pelanggan warga emas dan pesara kerajaan menjadikan kafe miliknya sebagai lokasi santai menikmati kopi.

“Setiap hujung minggu, ada pasangan pesara kerajaan yang tinggal di Seremban akan datang singgah ke kedai saya untuk menikmati kopi.

“Mereka memberitahu saya yang mereka suka dengan suasana kampung serta gemar melihat kenderaan yang lalu-lalang di hadapan kedai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN