LONDON: Ratusan ribu penunjuk perasaan pro-Palestin berhimpun di beberapa bandar utama Eropah bagi menyuarakan harapan terhadap gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang kini memasuki hari kedua.
Dalam siri tunjuk perasaan hujung minggu yang semakin kerap diadakan sejak dua tahun lalu, laungan “Bebaskan Palestin!” bergema di jalanan dengan peserta mengibarkan bendera Palestin.
Dianggarkan puluhan ribu orang berhimpun di London, sekitar 5,500 di Berlin dan kira-kira 500 di Vienna.
Namun, suasana tidak sepenuhnya aman di Switzerland apabila pertempuran tercetus di Bern selepas kira-kira 2,000 orang mengadakan protes tanpa kebenaran di pusat bandar.
Sebahagian penunjuk perasaan bertopeng hitam melepaskan bunga api, menyebabkan polis bertindak balas dengan gas pemedih mata dan meriam air.
Di London, Pengarah Palestine Solidarity Campaign, Ben Jamal yang menganjurkan perhimpunan bulanan sejak perang bermula dua tahun lalu, berkata, mereka datang bagi berkongsi kelegaan rakyat Palestin.
“Tetapi pada masa sama, kami juga berkongsi kebimbangan bahawa gencatan senjata ini mungkin tidak kekal lama,” katanya.
Walaupun terdapat kebimbangan terhadap rancangan damai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mencadangkan pembentukan pihak berkuasa peralihan diketuai oleh pemimpin AS itu, Jamal berkata, masih terdapat kelegaan besar di situ.
Jalan-jalan di tebing Sungai Thames dipenuhi lautan warna merah dan hijau, lambang bendera Palestin, sementara peserta berpakaian selendang keffiyeh hitam putih membawa plak bertulis “Hentikan Kebuluran Gaza” dan “Hentikan Pembunuhan Beramai-ramai”.
Mereka turut melaungkan slogan “Free Palestine” dan “From the river to the sea, Palestine will be free”.
Sekumpulan kecil penyokong Israel mengadakan protes balas dengan mengibarkan bendera Israel dan memainkan muzik kuat ketika perarakan menuju ke Whitehall.
Polis London melaporkan beberapa tangkapan dibuat selepas berlaku pertengkaran kecil antara kedua-dua kumpulan.
Sementara itu di Berlin menyaksikan 60,000 orang turun ke jalan sejak dua minggu lalu, perhimpunan kali ini lebih kecil dan berlangsung aman, namun ada peserta menuduh kerajaan Jerman sekutu kuat Israel kerana berada di pihak yang salah dalam sejarah. -AFP










