PETALING JAYA: Polis mengesahkan tiada sebarang tangkapan dilakukan susulan perhimpunan membabitkan Pemuda Amanah Nasional di Dewan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu dekat sini, malam tadi.
Dianggarkan sebanyak 12 orang aktivis dikenal pasti hadir di restoran berkenaan dengan motif untuk mengajak masyarakat terlibat dalam perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dijangka berlangsung pagi ini.
Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, walau bagaimanapun, hanya pemeriksaan butiran diri pengunjung yang hadir dalam perhimpunan tersebut dilakukan.
Turut diperiksa, lapan orang awam yang turut berada di lokasi berkenaan.
Kata beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 atas kesalahan pemberitahuan perhimpunan.
“Pihak polis ingin memaklumkan bahawa perhimpunan ini tidak mendapat permit dan kebenaran daripada pihak berkuasa dan pihak penganjur gagal menghantar notis pemberitahuan untuk mengadakan program perhimpunan ini kepada pihak Polis.
“Orang awam dilarang menyertai mana-mana perhimpunan tanpa permit yang sah daripada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Amihizam, berhimpun secara haram boleh menimbulkan kacau ganggu awam.
“Justeru itu, maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” jelasnya. – UTUSAN










