Penuhkan masjid lebih penting daripada bangkitkan soal rapatkan saf - Utusan Malaysia

Penuhkan masjid lebih penting daripada bangkitkan soal rapatkan saf

IDRIS Ahmad menurunkan tanda tangan pada plak perasmian pecah tanah pembinaan bangunan Sriti Bestari di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Memenuhkan masjid pada setiap solat waktu lebih penting daripada membangkitkan soal merapatkan saf semasa penularan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, ada pihak yang sering membangkitkan soal merapatkan saf tetapi tidak pula beria-ria mengajak orang lain datang memenuhkan masjid dan surau untuk solat.

“Yang penting mari sembahyang dulu. Sekarang ini pun di masjid adakah orang penuh? Ada, tapi tak penuh, kita buat jarak saf hari ini penuh tak? Saya sembahyang Subuh di Putrajaya tak ada orang pun, surau pun tak penuh dalam keadaan saf jarak.

“Saya pun hairan kenapa sibuk fasal jarak saf, sepatutnya mari kita pakat beramai-ramai sembahyang jemaah. Mereka yang membangkitkan isu rapatkan saf ini sembahyang di mana? Ia (rapatkan saf) bukan syarat sah pun.

“Kalau sudah ramai yang datang berjemaah di masjid, sehingga berpusu-pusu sampai terpaksa bergaduh-gaduh untuk masuk ke masjid, masa itu nanti baru kita bermesyuarat (mengenai rapatkan saf), setakat hari ini (jarak ketika solat) okey lah tu.

“Malah di Arab Saudi pun kembali melaksanakan jarak dalam solat berjemaah sebab kes Covid-19 yang masih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan bangunan Sriti Bestari Bagan Serai di Masjid Tinggi dekat sini hari ini.

Menurut Idris, keputusan penjarakan saf ketika solat yang dilaksanakan ketika ini bukan sengaja dibuat kerajaan.

Menurutnya, ia diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, kerajaan memang berhasrat untuk merapatkan kembali saf solat berjemaah namun akur dan menghormati keputusan bidang kuasa agama negeri.

“Memang kita nak rapatkan saf tapi keputusan yang dibuat bukan saja-saja dibuat sebaliknya diputuskan oleh orang agama, ulama, Kementerian Kesihatan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, mengenai laporan akan berlaku rombakan Kabinet, Idris berkata, mesyuarat terakhir Kabinet pada Rabu lalu tidak membincangkan perkara itu.

“Tak ada bincang walau sepatah pun. Yang keluar (berita) daripada portal-portal yang cari makan. Biasalah tu, nak bagi laku, nak lawan Utusan. (Laporan rombakan Kabinet) tak betul, tak wujud,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN