KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan meluahkan kebimbangan dengan peningkatan kes bunuh melebihi 100 peratus sepertimana dikongsikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, kelmarin.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri sangat mengambil berat perkembangan itu,walaupun dari segi kadar jenayah indeks, ia jauh lebih jecil berbanding negeri-negeri lain.
“Kita rasa ia adalah satu perkembangan yang amat menyedihkan kerana kes bunuh masih merupakan jenayah serius walaupun statistik di Kelantan jauh lebih rendah berbanding negeri-negeri lain.
“Peningkatan daripada hanya satu kes pada tahun lepas kepada lima kes bunuh dalam tempoh sama pada tahun ini, bagi kita amat menyedihkan,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengekang kes bunuh daripada berlaku dalam negeri ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, kes bunuh di Kelantan melonjak lebih 100 peratus bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu sekali gus menyifatkan jenayah berkenaan sesuatu yang sukar dijangka atau dicegah pihak berkuasa. – UTUSAN










