SEREMBAN: Suami kepada pelakon, Azar Azmeerah Azmi atau Azar Azmi ,yang didakwa menipu berkaitan urusan darjah kebesaran dan tanah kurniaan negeri Selangor, hadir ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini dalam keadaan bertongkat.
Tertuduh, Apri Hazreen Mohd. Sapri, 41, hadir bagi prosiding sebutan semula kes untuk lantikan peguam di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin, memaklumkan dia masih belum melantik peguam kerana belum dibebaskan dengan ikat jamin.
Menurutnya, dia masih ditahan di penjara selepas gagal membayar wang jaminan sebanyak RM21,000 dan keluarganya sedang mengumpul wang berkenaan.
“Belum lagi, saya masih dalam penjara sebab keluarga sedang kumpulkan duit untuk bayar ikat jamin RM21,000.
“Awal bulan Jun mereka akan bayar ikat jamin. Selepas saya keluar, saya akan usahakan untuk lantik peguam,” katanya ketika prosiding hari ini.
Mahkamah Sesyen di sini, sebelum ini membenarkan wang jaminan terhadap tertuduh dikurangkan daripada RM25,000 kepada RM21,000 dengan syarat tambahan dikekalkan.
Pada 11 Mac lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menipu dua mangsa berhubung urusan mendapatkan darjah kebesaran bergelar Datuk dan tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud, tahun lalu.
Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayanya membuat pembayaran RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang wanita berusia 35 tahun, bagi tujuan mendapatkan tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud.
Mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk membuat pembayaran RM23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang tidak wujud.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Seremban 2 antara 22 Oktober hingga 9 November tahun lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurnadiahani Mohd. Ideris.
Mahkamah menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam. – UTUSAN










