BANGKOK: Thailand mengurangkan secara drastik tempoh tinggal tanpa visa untuk pelancong dari lebih 90 negara dalam usaha membendung jenayah membabitkan warga asing, kata pegawai pada Selasa.
Sektor pelancongan amat penting kepada ekonomi negara Asia Tenggara itu, namun ketibaan pelancong asing masih belum kembali ke paras sebelum pandemik Covid-19.
Beberapa siri tangkapan berprofil tinggi membabitkan warga asing kebelakangan ini termasuk kes berkaitan dadah, pemerdagangan seks serta warga asing yang mengendalikan perniagaan seperti hotel dan sekolah tanpa permit sah.
Di bawah skim pelancongan semasa Thailand, pengembara dari lebih 90 negara termasuk kawasan Schengen yang melibatkan 29 negara Eropah, Amerika Syarikat (AS), Israel dan beberapa negara Amerika Selatan dibenarkan memasuki negara itu tanpa visa sehingga 60 hari.
Kabinet Thailand pada Selasa meluluskan pengurangan tempoh bebas visa itu, kata Menteri Pelancongan, Surasak Phancharoenworakul, kepada wartawan di Bangkok.
Menurutnya, tempoh baharu bebas visa akan ditentukan mengikut negara, dengan kebanyakan warga asing hanya dibenarkan tinggal sehingga 30 hari, manakala sebahagian lagi mungkin hanya diberikan tempoh 15 hari.
Jurucakap kerajaan memberitahu AFP, pelancong masih boleh memperbaharui visa sekali dengan hadir ke pejabat imigresen.
“Tempoh 60 hari sebelum ini diberikan secara automatik, tetapi pembaharuan akan ditentukan pegawai imigresen dan pelancong perlu menjelaskan sebab mereka mahu tinggal lebih lama,” katanya.
Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, minggu lalu berkata, langkah mengurangkan tempoh bebas visa itu adalah sebahagian daripada tindakan membanteras jenayah rentas sempadan.
Katanya, Thailand tidak menyasarkan mana-mana negara tertentu, sebaliknya individu yang menyalahgunakan sistem visa untuk melakukan jenayah.
Jurucakap kerajaan, Rachada Dhanadirek berkata, pelancong sememangnya memberi manfaat kepada ekonomi, namun skim sedia ada telah dieksploitasi sesetengah pihak.
Sebelum ini, tempoh bebas visa dihadkan kepada 30 hari sebelum dilanjutkan kepada 60 hari pada Julai 2024 sebagai usaha kerajaan merancakkan pelancongan dan ekonomi.
Sektor pelancongan menyumbang lebih 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand, walaupun jumlah pelawat masih di bawah tahap sebelum pandemik.
Data kementerian pelancongan menunjukkan ketibaan pelancong asing susut kira-kira 3.4 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada 2025, dengan jumlah pelawat dari Asia Barat merosot hampir satu pertiga.
Thailand menjangkakan kira-kira 33.5 juta pelancong asing tahun ini, meningkat sedikit berbanding hampir 33 juta pelawat tahun lalu, menurut kerajaan.-AFP









