fbpx

Penternak rugi 40 ekor lembu mati disyaki diracun

ANTARA lembu ternakan S. Thangaraj yang mati bergelimpangan dipercayai diracun di Batu Hampar, Beruas semalam.

BERUAS: Seorang penternak lembu kerugian kira-kira RM160,000 selepas 40 ekor lembu miliknya mati secara tiba-tiba di kawasan Sungai Rotan, Trong, dekat Batu Hampar, Beruas, petang semalam.

Penternak tersebut, S. Thangaraj, 36, berkata, kejadian itu disedari pekerjanya kira-kira pukul 5.30 petang semalam sebelum menghubunginya di Manjung.

“Pekerja memberitahu lembu tiba-tiba tumbang dan terus mati di sekitar kawasan ladang penanaman buah-buahan yang terletak beberapa kilometer dari kandang ternakan lembu saya. Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati terdapat satu bekas minuman berupa tong drum yang dikerat mengandungi air disyaki terdapat racun di dalamnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Sungai Rotan hari ini.

Menurut Thangaraj yang menternak kira-kira 160 ekor lembu di situ, kebiasaannya haiwan itu dikeluarkan dari kandang pada pukul 9 pagi dan diberi makan sebelum lembu-lembu itu tidur, kemudian pada pukul 2 petang haiwan itu merayau mencari makanan di kawasan sekitar sehingga kembali masuk ke kandang pada pukul 6.30 petang.

Jelas beliau, kebiasaan lembu-lembu itu akan pergi ke satu kawasan ladang buah-buahan di situ yang tidak berpagar dan pernah menjadi lokasi kandang haiwan itu sebelum berpindah ke lokasi sekarang.

Beliau memberitahu, walaupun memasuki kawasan ladang buah naga, lembu-lembu itu tidak merosakkan pokok atau memakan buah yang ditanam itu kerana pokok dan buah itu berduri, sebaliknya hanya memakan rumput yang terdapat di dalam kawasan ladang buah itu.

Menurut Thangaraj, sebelum ini pemilik ladang buah itu pernah menghubunginya meminta agar menghalau haiwan ternakannya keluar dari lokasi penanaman buah tersebut dan beliau akur dengan permintaan itu dengan membawa keluar haiwan itu dari situ.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa tetapi kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia menyebabkan saya kerugian banyak serta perbuatan menganiayai haiwan yang tidak tahu apa-apa itu. Saya bersedia membayar ganti rugi jika perbuatan lembu-lembu itu merosakkan penanaman buah-buahan tetapi janganlah melakukan perbuatan kejam membunuh haiwan itu jika betul ia diracun oleh pihak tertentu,” katanya yang akan membuat laporan polis.

Beliau juga khuatir lebih banyak ternakannya dari baka Brahman dan berharga kira-kira RM4,000 seekor itu, akan mati terutama anak lembu.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN