MVV City tarik GOLOG, perkukuh hab logistik dalam MVV 2.0

MVV City tarik GOLOG, perkukuh hab logistik dalam MVV 2.0

TAPAK kerja-kerja pembangunan yang sedang dijalankan di MVV City, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad terus memperkukuh ekosistem perindustrian di MVV City menerusi penjualan tanah industri kepada GOLOG Holdings Ltd, sekali gus mengukuhkan kedudukan kawasan itu sebagai hab industri dan logistik bersepadu dalam koridor Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).

Kerjasama strategik ini mencerminkan usaha proaktif Matrix Concepts dalam menarik pemain industri dan logistik utama untuk bertapak di MVV City, selaras dengan visi syarikat membangunkan ekosistem industri yang lebih berintegrasi, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan.

Matrix Concepts berkata, kehadiran GOLOG dijangka membawa keupayaan infrastruktur rantaian sejuk ke dalam ekosistem industri MVV City, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penyimpanan, pergudangan dan pengedaran terkawal suhu melibatkan sektor pemprosesan makanan, farmaseutikal, e-dagang, logistik serta perdagangan import dan eksport.

“Kami percaya integrasi kemudahan rantaian sejuk itu akan meningkatkan lagi daya saing MVV TechValley sebagai hab industri dan logistik strategik serantau, ketika rantaian bekalan global terus berkembang dan syarikat antarabangsa mencari destinasi industri yang lebih berdaya tahan serta mempunyai jaringan logistik kukuh di Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan.

MVV City yang dibangunkan secara bersama oleh Matrix Concepts dan Kerajaan Negeri Sembilan menerusi NS Corporation merupakan bandar bersepadu pertama dalam koridor MVV 2.0. 

Projek seluas 963.96 hektar itu merangkumi 404.7 hektar tanah industri, lebih 15,000 unit kediaman dan 70.4 hektar ruang komersial serta institusi.

Dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM15 bilion dalam tempoh 12 tahun akan datang, MVV City dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan komuniti jangka panjang, sekali gus mentransformasikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pembangunan baharu di luar Greater Klang Valley.

Penambahan kemudahan rantaian sejuk GOLOG dilihat sebagai langkah penting dalam mewujudkan ekosistem industri yang lebih lengkap di MVV City, melangkaui pembangunan industri konvensional dengan mengintegrasikan infrastruktur, kesiapsiagaan logistik, kemudahan sokongan perniagaan dan jaringan hubungan dalam satu ekosistem menyeluruh.

Terletak strategik dalam koridor pertumbuhan Seremban–MVV yang pesat membangun, MVV City mempunyai akses kepada lebuh raya utama, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta mempunyai hubungan terus ke Pelabuhan Klang, menjadikannya pintu masuk menarik bagi industri pembuatan, logistik dan eksport serantau.

Sementara itu, pembangunan GOLOG di MVV City mencerminkan keyakinan pelabur industri terhadap potensi jangka panjang kawasan itu, ketika Malaysia terus mendapat manfaat daripada perubahan rantaian bekalan serantau, peningkatan aliran perdagangan ASEAN dan permintaan terhadap ekosistem industri yang lebih cekap operasi.

Sebelum ini, GOLOG telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembangunan 250.09 hektar tanah industri yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan anggaran GDV sebanyak RM8 bilion. 

Projek itu juga sejajar dengan inisiatif logistik serantau di bawah China-Malaysia Air Silk Road Dual Hub Industrial Park Cooperation Project.

Dalam pada itu, Matrix Concepts berkata, kerjasama itu turut mencerminkan komitmennya dalam mewujudkan destinasi industri yang menawarkan nilai strategik jangka panjang kepada pembeli industri, pelabur serta rakan ekosistem yang ingin mengembangkan operasi mereka di MVV City.

“Melalui pelan induk bersepadu, kesiapsiagaan infrastruktur dan kelebihan jaringan hubungan, syarikat yakin kerjasama tersebut mampu mewujudkan platform pertumbuhan mampan untuk GOLOG serta keseluruhan ekosistem industri MVV City.

“Dengan integrasi kemudahan rantaian sejuk itu, syarikat yang beroperasi di kawasan berkenaan dijangka menikmati rantaian bekalan yang lebih stabil, kecekapan logistik lebih tinggi dan peningkatan keupayaan operasi, khususnya bagi industri yang memerlukan pengendalian serta pengedaran sensitif suhu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN