SC semak semula garis panduan DAX, sekat platform kripto haram

SC semak semula garis panduan DAX, sekat platform kripto haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) mempertingkat Garis Panduan Pasaran yang diiktiraf bagi memperkukuh rangka kerja kawal selia Pertukaran Aset Digital (DAX) tempatan, berkuat kuasa hari ini.

Langkah berkenaan bertujuan mempercepat pelancaran produk melalui proses kelulusan yang lebih kemas, selain memperketat tadbir urus bagi melindungi aset pelanggan serta meningkatkan kestabilan kewangan pengendali platform terbabit.

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, industri aset digital mesti berkembang dan menerima disiplin institusi yang diperlukan untuk membina pasaran modal yang matang.

“Garis panduan yang dipertingkatkan memerlukan rakan kongsi yang berdaya tahan dan boleh dipercayai dalam ekosistem pasaran kewangan Malaysia. Apabila pasaran berkembang dengan lebih inklusif dan inovatif, ia mesti diseimbangkan dengan piawaian tadbir urus tertinggi,” katanya dalam kenyataan.

Seiring penguatkuasaan itu, SC turut mengetatkan tindakan amaran dan pentadbiran terhadap empat DAX yang dikesan beroperasi tanpa pendaftaran di bawah badan kawal selia negara.

Malah, bermula 14 April lalu, SC telah menjalin kerjasama strategik dengan syarikat teknologi global seperti Google bagi menyekat platform DAX tidak berdaftar daripada mempromosikan perkhidmatan mereka kepada rakyat Malaysia.

Sebagai usaha memperluas perlindungan pelabur, semua pengendali DAX yang sah akan dimasukkan sebagai ahli Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (FMOS) pada tahun ini bagi menyediakan saluran penyelesaian pertikaian formal.

Pasaran aset digital tempatan terus memaparkan pertumbuhan stabil apabila nilai dagangan DAX dikawal selia melonjak 23 peratus kepada RM17.14 bilion pada tahun 2025, berbanding RM13.93 bilion pada tahun sebelumnya.

Semakan instrumen ini juga adalah sebahagian daripada strategi serampang dua mata SC untuk merapatkan jurang antara pasaran tradisional dan alternatif.

Ini termasuk pengeluaran Nota Amalan berkaitan perkhidmatan pembrokeran aset digital serta kemas kini Garis Panduan Dana Dagangan Bursa (ETF) bagi membolehkan penawaran ETF mata wang digital di pasaran terbuka.

Inisiatif pengukuhan pasaran digital ini secara langsung menyokong sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk melonjakkan saiz pasaran modal Malaysia kepada RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang tahun 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN