Penguasa Kanan SPRM didakwa pecah amanah wang rampasan hampir RM30 juta - Utusan Malaysia

Penguasa Kanan SPRM didakwa pecah amanah wang rampasan hampir RM30 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah wang rampasan agensi itu berjumlah AS$6.94 juta (kira-kira RM30 juta).

Penguasa Kanan Shahrum Nizam Baharuddin, 40, didakwa melakukan perbuatan itu atas kapasiti sebagai penjawat awam yang diamanahkan dengan penguasaan harta tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah di antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019 di Bilik Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK), Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Pegawai kanan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pegawai berkenaan ketika itu merupakan salah seorang anggota pasukan siasatan kes pecah amanah melibatkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab. Hamid.

Tertuduh sebelum ini ditahan reman oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang mencecah AS$6 juta (RM25 juta) milik Hasanah.

Hakim Suzana Hussin membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin agar tertuduh dilarang jamin dan menetapkan kes itu disebut pada 18 Februari ini.

Semasa prosiding tersebut, pihak pendakwaan membantah jaminan dikenakan terhadap tertuduh atas alasan kes itu di bawah pertuduhan yang dilarang jamin.

Katanya, Shahrum Nizam kini ditahan selama dua tahun di Penjara Simpang Renggam, Johor di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Kami membantah jaminan kerana kes ini merupakan satu kesalahan serius dan telah mendapat liputan media satu dunia,'” jelasnya.

Wan Shaharuddin berkata, kes itu melibatkan jumlah wang yang banyak mencecah RM30 juta dan ketika itu tertuduh berjawatan pegawai penguat kuasa.

Jelas pendakwa, tertuduh juga akan didakwa tidak lama lagi terhadap sejumlah 101 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Namun katanya, jika mahkamah memberi pertimbangan jaminan, beliau memohon tertuduh dijamin RM10 juta dengan tiga orang penjamin.

Pihak pendakwaan turut diwakili oleh Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat.

Bagaimanapun, peguam K. Ponnusamy memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan selaku penjawat awam, anak guamnya tidak mempunyai risiko melarikan diri.

Jelas pihak pembelaan, tertuduh yang mempunyai dua orang anak juga menghidap kanser hidung dan turut menderita penyakit slip disc.

Peguam bela turut mengesahkan, Shahrum Nizam kini ditahan di bawah LLPK dan dalam proses dibicarakan di hadapan lembaga pada 26 Januari ini.

“Liputan luas pihak media tidak boleh dijadikan alasan kes itu serius,” katanya.

Pada September tahun lalu, media melaporkan bahawa tiga pegawai kanan SPRM yang direman selama enam hari oleh agensi itu, dipanggil oleh polis bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berjumlah AS$6 juta (RM25 juta).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan, berkata pihaknya juga akan memanggil Hasanah yang merupakan pemilik wang berkenaan selepas polis menerima satu laporan berhubung kes itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya