PETALING JAYA: Pemain profesional negara, Gavin Green menepati ramalan apabila muncul juara Kejohanan Trofi PGM Tun Ahmad Sarji 2026 selepas mencatat keseluruhan 14 bawah par (-14) di Saujana Golf & Country Club, petang tadi.
Gavin menamatkan saingan dengan jumlah pukulan 202 (63, 71, 68) sekali gus mengatasi pencabar terdekat, pemain amatur kebangsaan Anson Yeo yang mengumpul lapan bawah par (-8) serta Marcus Lim di tempat ketiga dengan tujuh bawah par (-7).
Menurut Gavin, kejayaan mendahului sejak pusingan pertama hingga penamat menjadi kunci utama kemenangan selain konsistensi dalam memburu birdie.
“Saya fokus untuk kekalkan momentum dan terus memburu birdie sepanjang kejohanan,” katanya.
Sementara itu, Anson muncul pemain amatur terbaik kejohanan tersebut, manakala Marcus melengkapkan kelompok tiga terbaik.
Beberapa pemain lain termasuk Zia Iqmal, Afifi Fathi, Kim Leun Kwang dan Zia Izzuddeen berkongsi kedudukan di tangga keempat selepas mencatat par keseluruhan.
Dalam kategori wanita, Liyana Durisic meneruskan kecemerlangan apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam carta Order of Merit.
Liyana menamatkan saingan dengan jumlah 211 pukulan, lima bawah par (-5), selepas bangkit daripada kesilapan di lubang ke-18 untuk menamatkan kejohanan dengan cemerlang.
Tempat kedua menjadi milik Zulaikah Nasser dengan dua bawah par (-2), diikuti Allycia Gan yang mencatat empat atas par (+4).
Kejohanan tersebut menawarkan jumlah hadiah keseluruhan RM180,000 bagi kategori lelaki dan RM30,000 untuk kategori wanita, serta berlangsung di padang Bunga Raya (par 72) yang terkenal dengan keindahan landskapnya. – UTUSAN










