BARCELONA: Barcelona semakin hampir mempertahankan gelaran La Liga selepas menewaskan Celta Vigo 1-0, namun kemenangan itu dibayar dengan harga mahal berikutan kecederaan dialami Lamine Yamal.
Yamal muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-38 selepas dijatuhkan oleh Yoel Lago namun dia terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan hamstring, sekali gus menimbulkan kebimbangan menjelang aksi El Clasico serta kejohanan antarabangsa akan datang.
Pengurus Barcelona, Hansi Flick berharap kecederaan yang dialami Yamal tidak serius, dengan bintang muda itu kini sedang menjalani pemeriksaan penuh bagi menentukan tempoh rehat yang diperlukan.
“Kita perlu lihat perkembangan Yamal dengan diagnosis yang jelas. Situasi ini bukan mudah dan kita perlu menerimanya, sama seperti Joao (Cancelo). Harapnya ia bukan kecederaan serius,” kata Flick.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Flick mengakui pasukannya berdepan cabaran sukar daripada Celta Vigo sebelum berjaya meraih kemenangan penting.
“Kami gembira. Kami terpaksa berhempas pulas hari ini(semalam). Celta bermain dengan sangat baik. Separuh masa pertama amat sukar dan berbeza daripada jangkaan kami. Namun, yang penting kami memperoleh tiga mata.
“Kebiasaannya kami mengawal permainan, tetapi mereka memberi tekanan tinggi dengan intensiti yang kuat. Bukan mudah untuk mencipta gerakan dan peluang. Kami juga beberapa kali mudah kehilangan bola dan itu tidak bagus untuk kami,” ujarnya.
Barcelona kini mengumpul 82 mata, sembilan mata di depan Real Madrid dengan enam perlawanan berbaki.-AGENSI










