KUALA LUMPUR: Bestinet Sdn Bhd, penyedia sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) bagi pengurusan pekerja asing secara holistik dan digital, tampil menjawab pelbagai persoalan serta tuduhan yang sering dilemparkan terhadap syarikat tersebut.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh firma guamannya, Lui & Bhullar, syarikat yang diasaskan oleh Datuk Seri Aminul Islam Abdul Nor itu menegaskan bahawa kritikan semasa terhadap FWCMS tidak mencerminkan perbahasan dasar yang dibuat dengan niat baik, sebaliknya digunakan oleh pihak tertentu sebagai alat kepentingan politik melalui dakwaan tidak tepat berasaskan data terpilih dan di luar konteks.
“Penentangan ini bukanlah berasaskan prinsip tadbir urus yang baik, sebaliknya merupakan usaha mempertahankan ekosistem kewangan yang telah lama meraih keuntungan daripada eksploitasi pekerja migran.
“Bestinet akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap sebarang kenyataan palsu, mengelirukan atau berunsur fitnah,” menurut kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut mengenai FWCMS, Bestinet menjelaskan bahawa sistem tersebut telah menghapuskan kebocoran kewangan bernilai berbilion ringgit setiap tahun yang sebelum ini berlaku melalui perantara tidak formal.
Sebelum FWCMS diperkenalkan, jelasnya, ekosistem pengurusan pekerja asing di Malaysia bersifat manual, berpecah-pecah dan terdedah kepada penyalahgunaan, tanpa rekod digital, jejak audit dan akauntabiliti yang jelas.
“Kementerian beroperasi secara silo tanpa integrasi, manakala majikan terpaksa beratur seawal jam 3 pagi di kaunter kerajaan, sekali gus membuka ruang kepada bayaran tidak sah.
“Dalam kebanyakan kes, laporan perubatan dan dokumen insurans dipalsukan. Terdapat juga kes pekerja menghantar individu lain sebagai pengganti untuk pemeriksaan kesihatan.
“Permohonan kuota dimanipulasi secara manual melalui pakatan antara majikan, ejen dan orang tengah, mewujudkan permintaan palsu untuk mengaut keuntungan daripada pekerja yang sering terjerat dalam hutang,” jelasnya.
Menurut Bestinet, berdasarkan penilaian industri dan pemerhatian sejarah, kebocoran kewangan tersebut mencecah berbilion ringgit.
Namun, sejak pelaksanaan FWCMS, syarikat itu telah membangunkan penyelesaian digital bertaraf dunia melalui inisiatif pembiayaan sendiri tanpa melibatkan kos kepada kerajaan atau pembayar cukai.
“FWCMS merupakan platform tadbir urus rentas sempadan dengan 15 modul yang menghubungkan 15 negara sumber tenaga kerja, 232 pusat perubatan bertauliah serta semua agensi kerajaan berkaitan dalam satu ekosistem digital bersepadu.
“Sistem ini dibangunkan hasil lebih 500 sesi libat urus rasmi bersama agensi kerajaan Malaysia, dengan cadangan daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan pihak keselamatan negara, serta direka selaras dengan prinsip ILO dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).
“Ia menerima kelulusan rasmi kerajaan melalui Surat Setuju Terima (SST) pada 2018 dan perjanjian konsesi pada 2024 selepas penilaian menyeluruh antara kementerian termasuk semakan oleh UKAS,” katanya. – UTUSAN










