GOPENG: Kerajaan negeri bersetuju menyediakan tapak bagi pembinaan kampus baharu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Lumut.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, persetujuan itu dicapai susulan kunjungan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) minggu lalu, yang turut disertai lawatan ke tapak cadangan.
Katanya, pembangunan kampus cawangan itu kini berada pada peringkat awal pelaksanaan.
“Ia bukan sekadar kampus kecil, sebaliknya sebuah kampus lengkap, apatah lagi Lumut menempatkan kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Dengan kewujudan Bandar Pertahanan dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), saya yakin kampus UPNM ini akan muncul sebagai antara IPT yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Gopeng Avante oleh Kumpulan Syarikat Team Keris Berhad (TKB), di Bandar Seri Raia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, cadangan mewujudkan Bandar Pertahanan di Lumut akan melengkapkan dua pembangunan Bandar Pertahanan sedia ada di negara ini.
Katanya, dua lokasi tersebut ialah di Kuantan, Pahang bagi komponen pertahanan udara, manakala di Klang, Selangor bagi pertahanan darat.
“Dengan pembukaan cawangan UPNM di Perak, ia akan menjadi pelengkap kepada komponen pertahanan laut (memandangkan Lumut merupakan pangkalan utama pertahanan perairan negara),” katanya. – UTUSAN










