Pas tidak perlu dedah alasan gugur Khairuddin - Utusan Malaysia

Pas tidak perlu dedah alasan gugur Khairuddin

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Pas tidak perlu mendedahkan secara terperinci alasan pengguguran Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas kepada umum.

AJK Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penjelasan diberikan Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini bahawa pengguguran itu disebabkan isu disiplin telah memadai.

Menurutnya, beliau merasakan Mohd. Khairuddin sendiri turut mengetahui mengapa tindakan sedemikian diambil terhadapnya.

“Presiden sudah maklumkan alasannya disebabkan isu berkaitan disiplin. Tetapi tak perlulah kita ceritakan apa perinciannya kerana tindakan sedemikian akan menimbulkan masalah lain pula.

“Saya rasa tuan tubuh (Mohd. Khairuddin) sendiri tau sebab musababnya malah rakan yang menulis di Facebook berhubung perkara itu pun tahu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga AJK Pas Pusat menerusi laman Facebooknya semalam berpandangan, isu tersebut perlu dijelaskan kepada umum dan tidak terhad kepada ahli Pas semata-mata.

Nik Mohamad Abduh yang turut mengaku sebagai sahabat rapat Mohd. Khairuddin berkata, penjelasan rasmi itu sekiranya dibuat dengan segera boleh membina persepsi baik terhadap Pas yang kini memerintah negara apatah lagi isu tersebut melibatkan ahli parti yang memegang amanah rakyat selaku Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, tindakan individu tertentu dalam Pas yang ‘pandai-pandai’ menulis di Facebook juga boleh dianggap sebagai isu disiplin. 

Katanya, ‘orang lama’ yang berada dalam kepemimpinan parti itu sama sekali tidak akan menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan.

“Saya berpegang kepada satu frasa iaitu pandai dialu-alukan, ‘pandai-pandai’ tak dialu-alukan. Tindakan menulis di Facebook ini pun dikira sebagai ‘pandai-pandai’ juga dan tak dialu-alukan.

“Perjalanan dalam Pas ini ada Perlembagaan dan kita juga ada usrah, tarbiah serta bermacam-macam program bagi mendidik pemimpin agar pemimpin ini dapat pula mendidik ahli. Kalau ahli kita suruh guna saluran betul, pemimpin pun sama jugalah.

“Janganlah tulis di Facebook. Walaupun kita pandai menulis, tetapi ‘pandai-pandai’ menulis tidak dialu-alukan,” katanya.

Akuinya, beliau sendiri terlibat dalam dua mesyuarat yang berlangsung selama berjam-jam lamanya bagi membincangkan mengenai pengguguran Mohd. Khairuddin itu.  

“Dua mesyuarat itu adalah Mesyuarat Jawatankuasa Harian dan Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat. Keputusan dibuat secara konsensus, sebulat suara dan semuanya setuju secara kolektif,” katanya. – UTUSAN ONLNE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya