DUBAI: Sebuah kapal layar mewah yang dikaitkan dengan sekutu Presiden Russia, Vladimir Putin, dilaporkan melalui Selat Hormuz meskipun terdapat sekatan berterusan di laluan perkapalan penting itu.
Kapal mewah pelbagai dek sepanjang 142 meter dinamakan Nord itu dikaitkan dengan jutawan Russia yang dikenakan sekatan, Alexei Mordashov.
Kapal tersebut dilaporkan belayar dari Dubai ke Muscat, Oman, pada hujung minggu lalu, antara beberapa kapal persendirian yang melalui selat itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Iran mengadakan rundingan peringkat tinggi dengan Russia minggu ini ketika kebuntuan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung pembukaan semula selat tersebut masih berlarutan.
Mordashov, yang mempunyai hubungan rapat dengan Putin, tidak disenaraikan sebagai pemilik rasmi kapal berbendera Russia itu.
Namun, rekod menunjukkan kapal Nord didaftarkan kepada sebuah firma milik isterinya pada 2022.
Kapal mewah itu, yang dianggarkan bernilai lebih AS$500 juta (RM1.9 bilion), berlepas dari Dubai pada malam Jumaat sebelum tiba di Al Mouj, sebuah marina di ibu negara Oman, pada pagi Ahad, menurut data platform Marine Traffic.
Laluan yang ditunjukkan dalam penjejak berkenaan dilaporkan pernah digunakan oleh kapal-kapal lain yang melalui selat itu dengan kebenaran Iran.
Tidak jelas sama ada Nord mendapat kebenaran daripada Iran untuk belayar melalui laluan tersebut.
Mordashov memperoleh kekayaannya terutama menerusi syarikat keluli dan perlombpngan Severstal, yang merupakan firma terbesar di Russia.
Dengan anggaran nilai kekayaan kira-kira AS$37 bilion (RM146 bilion), beliau disenaraikan oleh sebagai rakyat Russia terkaya oleh majalah perniagaan Forbes.
Menurut profil dalam majalah Superyacht Times, Nord dilengkapi kolam renang, kapal selam dan pad pendaratan helikopter.
Mordashov menjadi sasaran sekatan Barat, termasuk United Kingdom (UK), AS dan Kesatuan Eropah (EU) sejak Russia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada 2022.- BBC










