Bahasa isyarat bantu doktor gigi rawat orang pekak

Bahasa isyarat bantu doktor gigi rawat orang pekak

KLINIK pergigian bergerak disediakan untuk orang ramai khususnya golongan pekak untuk mendapatkan rawatan dalam Inclusivity Carnival 2.0.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menyedari kesukaran untuk berkomunikasi dengan orang pekak ketika datang mendapatkan rawatan, sekumpulan doktor gigi mengambil inisiatif mempelajari bahasa isyarat.

Mereka yang terdiri daripada 64 pelajar Sarjana Sains Oral (MoSC), pascasiswazah, prasiswazah dan pensyarah dari Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM) mengikuti latihan asas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) menerusi inisiatif #Signon oleh tenaga pengajar bebas.

BIM merupakan bahasa rasmi orang pekak di negara ini yang diiktiraf di bawah Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 (Akta 685). Antara isyarat yang mereka pelajari adalah abjad, nombor, kata tanya, kata ganti nama, nama negeri, ahli keluarga serta ayat-ayat asas berkaitan pergigian.

Ilmu baharu yang mereka peroleh itu boleh diaplikasikan dalam perbualan harian serta semasa pengambilan sejarah pesakit khususnya golongan yang mempunyai masalah pendengaran di klinik atau hospital.

Keupayaan untuk berkomunikasi dengan orang pekak secara lebih baik mampu memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih inklusif.

Pada mulanya memanglah mereka berdepan sedikit kesukaran kerana tidak biasa dengan bahasa isyarat.

BAHASA isyarat digunakan oleh doktor gigi semasa merawat orang pekak.

Namun, kesungguhan serta kesabaran mereka untuk belajar dengan hasrat mahu lebih mudah berinteraksi dengan golongan pekak di tempat-tempat awam berjaya mengatasi cabaran tersebut.

Bagi mempraktikkan apa yang sudah dipelajari, mereka menganjurkan Inclusivity Carnival 2.0 dengan fokus untuk memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesihatan pergigian dalam kalangan komuniti orang pekak.

Aktiviti yang menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan khidmat bakti diusahakan sebagai sebahagian kursus Pergigian Khidmat Masyarakat di bawah program MoSC.

Bertemakan Where Smiles Connect, inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan literasi kesihatan pergigian serta memupuk amalan penjagaan kesihatan mulut yang mampan.

Pada masa sama ia memberi pendedahan kepada pelajar UM dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang inklusif serta peka terhadap keperluan komunikasi pesakit.

Pengarah Projek karnival berkenaan, Dr. Muhammad Khairil Husny Izhar berkata, kebanyakan mereka pernah berkhidmat di klinik dan hospital pergigian di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

MUHAMMAD KHAIRIL HUSNY

“Kami dapati apabila merawat pesakit pekak, kami berdepan masalah komunikasi dengan mereka.

“Akibatnya, kami sukar untuk memperoleh sejarah perubatan yang tepat. Contohnya, sakit macam mana, ngilu atau sebagainya,” katanya.

Menurutnya, kelemahan sedemikian boleh mempengaruhi diagnosis. Doktor gigi akan sukar untuk mengenal pasti masalah kesihatan pesakit pekak menerusi gejala atau tanda dihidapinya.

Masalah itu seterusnya menyukarkan doktor gigi dalam menyediakan rawatan terbaik kepada golongan bermasalah pendengaran.

Dalam pada itu, Inclusivity Carnival 2.0 yang berlangsung di Balai Ungku Aziz, UM pada Sabtu lalu dirasmikan oleh Dekan Fakulti Pergigian universiti berkenaan, Profesor Dr. Firdaus Hariri.

Antara aktiviti dalam karnival itu ialah ceramah kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak, permainan orang dewasa serta pemeriksaan pergigian dan kesihatan.

MOHAMAD Sazali Sha’ari (atas pentas) menyampaikan ceramah sempena penganjuran Inclusivity Carnival 2.0.

Juga gerai-gerai pameran Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) serta usahawan-usahawan di bawah persekutuan itu.

Pengarah Eksekutif MFD, Mohamad Sazali Sha’ari pula menjelaskan, pemilihan bahasa sama ada bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain yang sesuai untuk pesakit orang pekak juga perlu diambil kira.

“Sebelum guna bahasa isyarat, doktor kena tanya dahulu pesakit. Bahasa apa yang mereka selesa gunakan? Tidak boleh guna andaian sendiri.

“Bila berkomunikasi secara bertulis pula, tulislah seringkas mungkin. Jangan gunakan kata bahasa yang terlalu tinggi.

“Gunalah perkataan yang mudah bagi mendapatkan maklumat lebih tepat daripada pesakit,” katanya dalam ceramah bertajuk Pemerkasaan Komuniti Pekak dan Kesihatan Mulut di karnival berkenaan.

Diharapkan melalui bahasa isyarat yang dipelajari dan kehadiran ramai orang pekak dalam karnival tersebut, para doktor gigi terlibat kini sudah peka dengan keperluan pesakit dalam mendapatkan rawatan seterusnya tidak mengetepikan golongan OKU secara am.

Juga diharapkan program sebegini memberi keberkesanan kepada orang pekak secara menyeluruh.

Amat penting masyarakat tahu serba sedikit bahasa isyarat dan keperluan komuniti orang pekak. Ini kerana komunikasi tanpa menggunakan bahasa isyarat dengan orang pekak tidak mampu menyelesaikan sebarang permasalahan dengan berkesan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN