PETALING JAYA: Perjuangan beregu remaja negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan menemui titik noktah selepas tersingkir pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Australia di Sydney, Australia, hari ini.
Gandingan yang menghuni ranking ke-84 dunia itu tewas kepada beregu No. 15 dunia dari Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari 13-21, 17-21 dalam masa 43 minit.
Walaupun kalah, pujian harus diberi kepada Zi Yu-Noraqilah yang berjaya melangkah sehingga ke suku akhir buat kali pertama pada kejohanan berstatus Super 500 itu.
Pencapaian tersebut sebenarnya bakal membuka laluan yang lebih luas buat gandingan muda itu mendaki ke peringkat yang lebih tinggi dalam Jelajah Dunia BWF selepas ini.
Turut terkandas di peringkat sama ialah pemain perseorangan lelaki Malaysia, Justin Hoh yang tewas mudah kepada wakil Indonesia, Moh. Zaki Ubaidillah 7-21, 13-21 dalam masa 38 minit.
Kekalahan tersebut menyaksikan rekod pertemuan Justin dengan pemain No. 35 dunia itu kini semakin keciciran di belakang kepada 1-3.
Anak jati Kuala Lumpur berusia 22 tahun itu masih belum mampu memberikan persembahan yang lebih konsisten, tetapi, kemaraannya sehingga ke suku akhir selepas lapan bulan gagal berbuat demikian sekurang-kurangnya memberi petanda positif buat permain tersebut.
Kegagalan Justin dan Zi Yu-Noraqilah itu juga bermakna, tiada kelibat pemain Malaysia di separuh akhir Terbuka Australia, esok. – UTUSAN










