Kenyataan Tun Faisal tentang PN sudah tidak relevan – Tuan Ibrahim

Kenyataan Tun Faisal tentang PN sudah tidak relevan – Tuan Ibrahim

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berhubung isu kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) sudah tidak lagi relevan susulan keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan parti berkenaan.

Beliau berkata, kenyataan dibuat Tun Faisal tidak lagi menggambarkan kedudukan sebenar keputusan dalaman PN ketika ini, selain menegaskan individu berkenaan bukan dalam kalangan ahli mesyuarat yang membuat keputusan utama gabungan tersebut.

“Beliau bukan ahli mesyuarat. Perbincangan berbeza dengan keputusan.

“Sebenarnya kenyataan tersebut dah tak valid dan Pas dah buat keputusan menghentikan kerjasama. Elok beliau sebagai Ketua Penerangan memberi fokus mengukuhkan Bersatu daripada menyerang Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, sebarang kenyataan yang merujuk kepada keputusan lama PN juga tidak wajar dijadikan asas untuk menggambarkan pendirian semasa parti, memandangkan keadaan politik semasa telah berubah.

Tuan Ibrahim turut menegaskan Pas kini memberi tumpuan kepada pendirian baharu parti itu selepas mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam kerjasama politik sebelum ini.

Terdahulu, Tun Faisal menegaskan Bersatu tidak pernah menghalang mana-mana parti daripada menyertai PN seperti didakwa Tuan Ibrahim.

Menurutnya, Tuan Ibrahim selaku Timbalan Pengerusi PN lebih memahami sebab Majlis Tertinggi (MT) PN bersetuju mewujudkan electoral pact bagi menghadapi pilihan raya.

Tun Faisal turut mendakwa, pemimpin Pas dalam Mesyuarat MT PN sebelum ini tidak mahu memberikan kerusi kepada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk ditandingi di negeri-negeri SG4. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN