KUALA LUMPUR: Nasib pendakwah Ebit Lew yang didakwa atas pertuduhan berkait gangguan seksual akan diketahui petang ini.
Mahkamah Majistret, Tenom, Sabah dijangka akan membuat keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada pukul 4.30 petang, selepas empat tahun kes itu dibicarakan.
Perkara itu disahkan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan ketika dihubungi.
Ebit Lew atau nama penuhnya Ebit Irawan Lew dituduh pada 18 Februari 2022 atas 11 pertuduhan iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Kes mula dibicarakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani pada 27 September 2022 dengan 18 saksi pendakwaan telah memberikan keterangan.
Antara saksi yang dipanggil memberi keterangan termasuk pendakwah, Mohd. Fairuz Abu atau Akhi Fairuz Al-Jengkawi dan Firdaus Wong Wai Hung.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab.
Ebit Lew pula diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Prabjit Singh Gill. – UTUSAN










