Operasi feri Kuala Perlis-Langkawi dihentikan sementara 

Alur pelayaran cetek, operasi feri Kuala Perlis-Langkawi dihentikan sementara 

AEBUAH feri penumpang yang beroperasi bagi perjalanan ke Pulau Langkawi. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Operasi feri penumpang melibatkan laluan Kuala Perlis ke pulau ini dihentikan sementara pada 10 hingga 13 Februari ini kerana dijangka alur pelayaran terlalu cetek dalam tempoh tersebut.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, keputusan menghentikan operasi feri di laluan itu merupakan kali pertama dilakukan kerana masalah alur pelayaran cetek.

“Sebelum ini feri penumpang masih boleh beroperasi pada kedalaman aras laut satu meter (m), tetapi dinaikkan kepada 1.5m dan kemudiannya dinaikkan kepada 1.6m mengikut maklumat yang disediakan oleh Pusat Hidrografi Nasional (PHN).

“Tetapi sekarang paras laut 1.6m pun feri tidak boleh beroperasi kerana lumpur telah berkumpul dengan banyak kerana feri tidak beroperasi semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya di sini hari ini.

Baharin berkata, sebelum ini, walaupun pada aras laut satu meter, operasi feri tidak mengalami sebarang masalah daripada lumpur di alur pelayaran.

Jelasnya, sekarang walaupun feri beroperasi pada aras laut yang lebih dalam pada 1.6m, terlalu banyak lumpur yang menutup alur pelayaran sehingga feri tidak dapat beroperasi seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, tambahnya, feri pengangkutan (RORO) masih beroperasi seperti biasa kerana reka bentuknya adalah berbeza dengan feri penumpang.

Menurut Baharin, feri RORO mendarat di atas pasir untuk membolehkan kenderaan dipandu masuk ke dalamnya, berlainan dengan feri penumpang yang memerlukan kedalaman air untuk beroperasi.

Sebagai alternatif untuk keluar masuk ke Langkawi, penumpang boleh menggunakan laluan feri penumpang Kuala Kedah atau menaiki feri RORO di Kuala Perlis.

“Pada waktu feri penumpang Kuala Perlis tidak beroperasi, pihak konsortium akan memfokuskan operasi feri penumpang di Kuala Kedah, dengan purata empat perjalanan dua hala yang akan ditambah sekiranya ada permintaan daripada penumpang,” ujarnya.

Menurutnya, jumlah perjalanan feri bagi laluan Kuala Kedah pada waktu tersebut adalah berdasarkan jangkaan jumlah penumpang akan berkurangan kerana di luar waktu puncak.

Sementara itu,notis yang dikeluarkan Cuti-Cuti Langkawi Sdn. Bhd., memaklumkan operasi feri dari Kuala Perlis ke Langkawi dan dari Langkawi ke Kuala Perlis diberhentikan susulan paras air laut surut ke tahap rendah.

Menurut notis itu, bagaimanapun perjalanan feri itu akan kembali beroperasi seperti biasa bermula pada 14 Februari depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.