Tiga anggota pemisah dikenal pasti tembak mati guru wanita

Tiga anggota pemisah dikenal pasti tembak mati guru wanita

PEMERIKSAAN pihak berkuasa mendapati penyerang melepaskan lebih 20 das tembakan ke arah kereta dinaiki guru, suami dan bayinya dalam kejadian berhampiran Sekolah Yayasan Prasan Wittaya, di Daerah Yarang, Pattani, Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PATTANI (THAILAND): Tiga daripada empat suspek kumpulan pemisah yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap terhadap anggota polis sehingga mengorbankan seorang guru wanita sekolah agama di Daerah Yarang di sini, kelmarin adalah anggota kumpulan pemisah paling dikehendaki di wilayah ini.

Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, tiga suspek itu dikenali sebagai Bukri, 35, Makoseng, 35, dan Abdullah, 42.

Katanya, hasil semakan mendapati, Bukri yang mengetuai kumpulan tersebut aktif di daerah Yarang, Yaring, Mayo, Saiburi dan Mueang Pattani mempunyai 14 waran tangkap sementara Abdullah memiliki lapan serta Makoseng enam waran tangkap.

“Mereka dipercayai terlibat dalam beberapa siri keganasan termasuk menembak mati seorang anggota polis di Daerah Mayo pada 4 Mei lalu.

“Siasatan juga mendapati kumpulan itu cuba membalas dendam terhadap pegawai kerajaan dan pihak berkuasa selepas beberapa rakan mereka ditahan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sumber ISOC4 berkata, siasatan pasukan forensik mendapati terdapat 13 lubang peluru di cermin depan dan belakang serta sisi kereta dinaiki keluarga berkenaan dalam kejadian pukul 3.30 petang itu.

Katanya, guru terbabit, Fatimah Yango, 35, yang ketika kejadian sedang memangku bayinya berusia 35 hari di tempat duduk belakang, terbunuh selepas peluru menembusi bahagian belakang kereta berkenaan.

“Pihak berkuasa mengumpul lebih 20 kelongsong peluru di tempat kejadian. Antara senjata api yang digunakan dalam serangan itu ialah raifal AK-47.

“Siasatan lanjut juga mendedahkan empat penyerang menunggu di lorong berhampiran sekolah berkenaan sebelum melepaskan tembakan dari depan, tepi dan belakang, ketika kereta dipandu Abdul melalui jalan menuju ke Sekolah Yayasan Prasan Wittaya,” katanya.

Sumber itu berkata, Abdul memecut keretanya sebelum berhenti dalam kawasan sekolah itu selepas menyedari ditembak.

Terdahulu, seorang guru wanita dilaporkan maut ditembak ketika sedang memangku bayi lelakinya berusia dua bulan dalam satu serangan bersenjata di hadapan sebuah sekolah di Daerah Yarang.

Kejadian berlaku ketika mangsa Fatimah bersama bayi dan suami yang merupakan anggota polis berpangkat sarjan sedang menunggu untuk mengambil seorang lagi anak mereka yang bersekolah di kawasan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN