CADANGAN projek dua blok pembangunan di atas tanah milik Perbadanan Ketua Menteri (CMI) di Lot 642, Bukit Gelugor yang melibatkan antara 45 hingga 61 tingkat wajar dikaji semula secara menyeluruh.
Kajian ini perlu memberi tumpuan kepada aspek kebolehlaksanaan fizikal serta kesesuaian ketumpatan unit berdasarkan keluasan tanah yang benar-benar boleh digunakan selepas mengambil kira keperluan infrastruktur dan ruang sokongan lain.
Berdasarkan pemerhatian awal, terdapat kemungkinan wujud ketidakseimbangan antara jumlah unit yang dirancang dengan keluasan tanah bersih yang tersedia. Situasi ini boleh menyebabkan ketumpatan pembangunan menjadi terlalu tinggi jika tidak dinilai secara teliti dari sudut teknikal.
Oleh itu, isu ketumpatan berlebihan perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan langsung kepada keselesaan, aliran trafik dan kapasiti infrastruktur setempat.
Sekiranya keadaan ini benar berlaku, cadangan ketinggian bangunan antara 45 hingga 61 tingkat juga wajar diteliti semula. Ketinggian yang melampau tidak seharusnya diputuskan hanya berdasarkan potensi keuntungan, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan kemampuan tanah serta kesan jangka panjang kepada persekitaran bandar.
Dalam konteks ini, pihak kerajaan negeri melalui Jabatan Perancang Bandar perlu menilai semula semua aspek teknikal dengan lebih mendalam, khususnya berkaitan nisbah plot (plot ratio) yang munasabah. Penilaian yang tepat akan memastikan pembangunan tidak melebihi had kapasiti sebenar tanah tersebut.
Jika pemaju berhasrat melaksanakan projek melalui sistem Permintaan Cadangan (RFP), maka pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) perlu memastikan semua syarat teknikal dipatuhi sepenuhnya sebelum sebarang kelulusan diberikan.
MBPP juga wajar menangguhkan sementara keputusan kelulusan sehingga semua keperluan jabatan teknikal dipenuhi.
Akhirnya, suara rayuan dan petisyen daripada penduduk sekitar serta rakyat sebagai pembayar cukai perlu diberi perhatian serius dalam proses membuat keputusan demi memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan bertanggungjawab. –UTUSAN
RAHMAD ISAHAK
Warga Gelugor / Aktivis Politik










