KUALA LUMPUR: Institusi surau asas penting pembinaan masyarakat Islam sejahtera kerana ia bukan sekadar tempat menunaikan ibadah, bahkan berperanan sebagai pusat penyatuan ummah.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia tempat penyebaran ilmu dan pembentukan akhlak dan jati diri masyarakat.
Katanya, usaha pihak Surau Jumaat Al-Madrasatul Ittifaqiyah menghasilkan buku mengenai sejarah penubuhan surau itu juga penting sebagai rujukan buat generasi akan datang.
“Inisiatif ini sangat penting supaya dapat disimpan buat generasi 100 tahun akan datang. Kita mahu surau ini kekal sampai bila-bila.
“Secara tidak langsung generasi muda dan orang ramai mengetahui sejarah surau yang sudah dibina sejak 60 tahun lalu. Kalau ada apa-apa pembangunan pada masa depan, kita tunjuk sejarah ini,” katanya semasa Majlis Pelancaran Buku Surau Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, di sini, semalam.
Surau ditubuhkan pada tahun 60-an itu terletak bersebelahan dengan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar akibat perbuatan khianat sehingga meragut 23 nyawa, pada 2017.
Johari turut meluangkan masa menyantuni petugas ibadah korban di surau itu yang melaksanakan ibadah korban melibatkan sembilan lembu termasuk seekor lembu baka limousine seberat hampir satu tan.
Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, dokumentasi buku itu penting agar generasi akan datang memahami akar sejarah dan perjuangan yang telah membentuk institusi ini.
“Penerbitan buku ini amat signifikan kerana ia bukan sahaja meraikan sejarah penubuhan dan perkembangan surau ini, malah menghargai jasa serta pengorbanan para penguasa, ahli jawatankuasa dan seluruh ahli kariah yang telah berusaha memakmurkannya.
“Saya berharap buku ini menjadi sumber rujukan dan inspirasi kepada masyarakat untuk terus memperkasa peranan surau sebagai pusat ibadah, pendidikan serta pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai Islam,” katanya.
Sementara itu Johari berkata, mana-mana parti bebas bertanding di Parlimen Titiwangsa termasuk Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang ditubuhkan Datuk Seri Rafizi Ramli menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Malah beliau tidak pernah tergugat dengan mana-mana calon kerana rakyat boleh menilai sendiri calon bertanding.
“Setiap lima tahun, negara melalui pilihan raya kerana ia adalah satu proses demokrasi. Sesiapa boleh datang bertanding (Parlimen Titiwangsa).
“Bukan masalah tergugat kerana akhirnya rakyat yang mempunyai pilihan dan boleh menilai semua prestasi calon,” katanya. – UTUSAN










