DAHULU, suasana bilik berita sering digambarkan dengan bunyi mesin taip atau papan kekunci yang rancak, kepulan asap kopi, serta fokus utama kepada satu matlamat iaitu mengisi slot berita televisyen atau ruang akhbar untuk keesokan hari.
Namun, menjelang tahun ini, landskap kewartawanan berubah secara radikal. Wartawan hari ini tidak lagi hanya menulis berita, sebaliknya mereka turut berperanan sebagai pembuat video, pengurus media sosial dan penganalisis data dalam satu masa.
Perubahan ini memperlihatkan kemunculan kewartawanan multiplatform. Kandungan berita tidak lagi dihasilkan untuk satu saluran sahaja.
Wartawan mengadaptasi dan mengolah semula berita untuk diedarkan merentasi pelbagai platform seperti portal dalam talian, Facebook, Instagram dan TikTok. Mereka menyesuaikan kandungan agar memenuhi kehendak audiens yang mahukan maklumat segera, ringkas dan mudah diakses melalui peranti mudah alih.
Transformasi ini didorong oleh perubahan tingkah laku audiens. Rakyat Malaysia kini bergantung kepada telefon pintar dan media sosial sebagai sumber utama berita.
Jika organisasi media gagal hadir di skrin digital, mereka dianggap ketinggalan. Fenomena ini menggambarkan konsep konvergens media, iaitu penyatuan teknologi, kandungan dan struktur organisasi yang memaksa wartawan menguasai pelbagai kemahiran baharu untuk kekal relevan.
Namun, di sebalik kemajuan ini, tekanan terhadap wartawan semakin meningkat. Mereka bekerja dalam kitaran berita yang pantas dan tidak menentu, sering terpaksa menyeimbangkan antara kelajuan penyampaian berita dengan ketepatan fakta. Dalam usaha menjadi yang pertama, risiko kesilapan fakta boleh berlaku dan akhirnya menjejaskan kepercayaan awam terhadap media.
Pada masa sama, muncul cabaran baharu yang dikenali sebagai platformisasi. Organisasi media semakin bergantung kepada platform digital seperti media sosial dan enjin carian milik syarikat teknologi gergasi.
Algoritma kini bukan sahaja menentukan tahap capaian berita, malah mempengaruhi bentuk kandungan yang dihasilkan. Kandungan sensasi dan clickbait sering mendapat keutamaan berbanding laporan berkualiti, sekali gus mencetuskan dilema etika dalam kalangan pengamal media.
Kajian akademik terhadap fenomena ini menunjukkan penerimaan teknologi dalam bilik berita bukan hanya bergantung kepada alat digital, tetapi juga dipengaruhi oleh budaya organisasi dan persepsi wartawan itu sendiri.
Wartawan kini perlu melaksanakan pelbagai fungsi serentak termasuk tugas editorial, teknikal dan pengurusan audiens. Mereka juga menggunakan analitik data dan automasi dalam proses kerja harian.
Walau bagaimanapun, nilai kewartawanan tradisional tetap menjadi asas yang tidak boleh diketepikan. Prinsip seperti ketepatan, integriti dan etika profesional kekal sebagai benteng utama dalam menghadapi dominasi algoritma.
Teknologi seharusnya berperanan sebagai alat sokongan, bukan menggantikan nilai kemanusiaan dalam penyampaian maklumat.
Sehubungan itu, masa hadapan bilik berita memerlukan satu model kerja yang lebih dinamik dan fleksibel. Model ini perlu menekankan tiga elemen utama iaitu integrasi antara platform dan fungsi, adaptabiliti terhadap perubahan teknologi serta responsiviti terhadap keperluan audiens. Pendekatan ini membolehkan organisasi media bergerak lebih pantas tanpa mengorbankan kualiti kandungan.
Kesimpulannya, kewartawanan di Malaysia sedang melalui transformasi besar yang menuntut keseimbangan antara teknologi dan nilai kemanusiaan.
Walaupun platform digital dan algoritma memainkan peranan penting, wartawan tetap menjadi penggerak utama dalam menentukan hala tuju maklumat.
Misi kewartawanan untuk menyampaikan kebenaran demi kepentingan awam perlu terus dipelihara agar tidak tenggelam dalam arus digital yang semakin pantas.
PROFESSOR MADYA DR. MOHD. SHAHNAWI MUHMAD PIRUS & NURSYAMIMI HARUN
Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Universiti Islam Selangor










