PUTRAJAYA: Pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang hilang pekerjaan berpeluang memanfaatkan pembangunan produk inovasi menerusi pelbagai program baharu.
Ia susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan Perkeso hari ini yang akan membantu golongan itu agar dapat bekerja sendiri kelak.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kerjasama itu sejajar misi bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang berteknologi tinggi menjelang 2030.
“Justeru, MoU ini akan berkongsi kepakaran untuk mengenengahkan produk inovasi dalam usaha meningkatkan pendapatan pencarum yang melibatkan beberapa pendekatan,” katanya ketika berucap sebelum Majlis Menandatangani MoU antara Perkeso dan YIM di sini hari ini yang juga dihadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Ia lanjutan kepada program Return To Work (RTW) yang diperkenalkan Perkeso sejak 2007 dan telah pun membantu 41,360 pekerja untuk kembali berdikari melalui bidang keusahawanan.
Inisiatif itu kemudian dikembangkan akhir tahun lalu menerusi E-Katalog RTW-preneur yang menghimpunkan pelbagai produk inovasi diusahakan peserta untuk dipasarkan secara maya.
Mengulas lanjut, Adham berkata, MoU itu meliputi enam aspek kerjasama termasuk berkongsi platform dalam mengenal pasti keperluan sebenar kumpulan sasar pencarum bekas pekerja.
“Program dan projek inovasi dilaksanakan oleh YIM akan diperkenalkan selain peluang diberi kepada pembangunan produk dan kemudahan pembiayaan yang bersesuaian,” jelas beliau.
Dua badan itu ujarnya, akan menganjurkan program pembangunan kapasiti dan latihan selain bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk perolehan geran atau dana yang berpotensi.
MoU tersebut bahkan kata beliau, turut membolehkan Perkeso dan YIM melakukan kolaborasi secara bersama dalam mana-mana bidang yang berkaitan serta dipersetujui pihak terlibat.
Kementerian beliau tambahnya, optimis MoU itu bakal mencetuskan peluang pembangunan produk, kemudahan pembiayaan serta program kemajuan kapasiti pasca wabak Covid-19 sekali gus berharap mampu melahirkan ramai usahawan baharu yang akan memacu lagi pertumbuhan bidang Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) terutama kumpulan B40.
Katanya, YIM sedia menjelajah seluruh negara bagi jejak produk inovasi yang mampu beri impak besar kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar selaras misi ke arah negara mampan termasuk melalui pertandingan inovasi rekacipta yang julung kali diadakan tahun lalu di bawah program RTW bagi mencungkil potensi bakat dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).
Produk dihasilkan para pemenang turut dipamerkan di reruai kementerian ketika Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di ibu negara bulan lalu dan meraih pujian Perdana Menteri. – UTUSAN