EKONOMI Malaysia, pada tahun 1973 berada di fasa awal pembangunan. Pekerjaan ketika itu amat terhad, tidak banyak seperti hari ini. Datuk Yusof Haslam ketika itu baru mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Disebabkan dibesarkan dalam keluarga yang ramai, beliau didesak bapanya agar keluar mencari pekerjaan. Bapanya tidak mampu untuk menanggung ketujuh-tujuh adik beradik beliau kerana kemiskinan.
Maka keluar Yusof mencari kerja kerana tidak sanggup menahan telinga mendengar bapanya berleter hampir setiap hari. Beliau berjaya menjadi konduktor bas dengan menerima bayaran RM200 selama 10 bulan.
“Masa itu saya menjadi konduktor bas Srijaya yang laluannya bermula hentian bas Klang sehingga ke Jalan Klang lama. Tiket perjalanan antara 5 sen hingga 30 sen.
“Pekerjaan itu mengajar erti kehidupan kerana masyarakat pelbagai latar belakang, ada yang bergelar guru sampailah pegawai kerajaan, semua naik bas,” katanya.
Sebenarnya, ketika bekerja sebagai konduktor bas lagi, Yusof pada masa sama melakukan kerja-kerja lakonan demi pendapatan.
Ini termasuklah menjadi pelakon ekstra di Merdeka Studio. Kemiskinan ketika itu menjadi dorongan. Ditambah dengan keluarga yang tinggal di rumah setinggan yang sesak.
Namun Yusof suka pekerjaannya kerana berjumpa dengan ramai orang daripada pelbagai latar belakang.
“Ada sekumpulan pelajar Universiti Malaya sanggup menunggu bas yang membawa saya disebabkan minat mereka terhadap saya. Katanya, malu hendak cakap,” katanya berseloroh.
Bapa sering mengingatkan Yusof agar tidak memilih pekerjaan kerana ekonomi yang belum matang. Disebabkan itu, beliau acap kali berleter tentang perkara itu.
“Katanya dia tidak mampu tanggung tujuh beradik. Jadi, saya disuruh jangan memilih kerja kerana kesesakan hidup. Apatah lagi ketika itu kami baru ingin berpindah rumah ke Selayang Baharu. Jadi, kami amat perlukan duit,” ceritanya.

PERMINTAAN TERAKHIR
Antara filem terawal yang dilakonkan Yusof Haslam adalah Permintaan Terakhir yang diarahkan sutradara hebat, Jamil Sulong pada 1974.
Filem tersebut mencatat sejarah kerana menjadi filem pertama berwarna Merdeka Filem yang beribu pejabat di Bukit Bintang pada ketika itu.
“Saya hadir screen test bersama lebih kurang 40 orang, antaranya Uji Rashid dan Nozie Nani. Kami diberi watak pembantu.
“Itu adalah filem pertama saya dengan bayaran RM1,500 sebulan. Itu selepas saya desak syarikat menaikkan bayaran untuk membeli pakaian.
“Kemudian saya mengikat kontrak bersama syarikat tersebut untuk berlakon filem. Kalau tidak berlakon, tetap terima bayaran RM500,” kongsinya.
Bapa Yusof Haslam, Md Haslam Khan selalu mengingatkan jangan terlalu bergantung kepada kontrak yang dipersetujui dengan Merdeka Filem kerana industri hiburan ini ada naik dan turunnya.
“Jadi, dalam tiga tahun, sambil berniaga baju bundle saya juga mencari pendapatan tambahan dengan melakukan jual beli kereta.
“Benarlah kata bapa, kontrak itu terbatal lebih awal atas sebab-sebab yang tidak diketahui puncanya.
“Namun saya bernasib baik kerana sutradara dan pelakon, Allahyarham Jins Shamsuddin menawarkan saya watak dalam filem Tiada Esok Bagimu dengan bayaran RM3,000,” kongsinya.

DRAMA KEPOLISAN
Nama Yusof Haslam sinonim dengan drama ‘kepolisan’ seperti Roda-Roda Kuala Lumpur dan Gerak Khas.
Tujuan utama sutradara ini menghasilkan drama sedemikian adalah untuk memberi gambaran kehidupan sebenar pekerja badan beruniform yang sering disalah anggap masyarakat.
“Saya mengenali drama kepolisan sejak berlakon filem Bukit Kepong arahan Jins Shamsuddin. Dari saat itu, saya berkenalan dengan Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dan Datuk Latifi.
“Mereka mancadangkan agar saya menerbitkan drama kepolisan, maka dari situ tercetus idea menghasilkan Roda-Roda Kuala Lumpur dan kemudian, Gerak Khas,” ujarnya.
Menerusi drama tersebut, Yusof membongkar kehidupan warga beruniform dan mengubah persepsi rakyat mengenainya.
“Orang melihat kerja polis ini senang, makan gaji buta. Tapi hakikatnya warga beruniform ini melalui banyak liku kehidupan.
“Ada yang terpaksa tinggalkan anak bini selama setahun demi tugas mereka. Itu yang mendorong saya terus menghasilkan drama ini selama lebih 20 tahun,” kongsinya.

NASIB PELAKON VETERAN
“Bintang filem nampak glamor, hakikatnya indah khabar daripada rupa.”
Demikian pandangan Yusof Haslam mengenai pengakhiran kehidupan bintang filem jika tidak mempunyai hala tuju dalam kehidupan.
Malah, perkara sama dirungutkan bapanya kerana tidak mahu nasib yang sama menimpa Yusof jika dia tidak mempunyai sebarang perancangan kehidupan.
“Perkara itu menyedarkan saya. Sebab itu sambil menjalankan perniagaan, saya berlakon dan menyimpan wang untuk masa depan.
“Yang nampak masa depan saya adalah bapa saya. Beliau tidak menghalang saya berlakon. Tapi dalam masa sama, buat kerja lain.
“Jangan melepak di kedai sembang kosong sahaja. Dia tidak mahu pengakhiran anaknya jadi melarat.
“Sebab itu, dalam apa yang saya lakukan, sentiasa beringat. Buatlah sebanyak mana pekerjaan agar sumber itu cukup menampung kehidupan,” kongsinya.










