ROTI bakar avokado dan latte berbuih yang disediakan di sebuah premis eksperimental di kawasan perumahan Stockholm kelihatan seperti kafe biasa. Namun uniknya ia dikendalikan sepenuhnya oleh kecerdasan buatan (AI).
Kafe tersebut menampilkan reka bentuk minimalis dengan beberapa meja dihiasi tumbuhan kecil serta dinding berwarna kelabu.
Di belakang kaunter, seorang barista, Kajetan Grzelczak diambil bekerja oleh ‘Mona’, si pengurus kafe berasaskan AI yang dijana oleh sistem Gemini milik Google.
Grzelczak memberitahu AFP, membuat pesanan bukanlah kelebihan utama Mona dan mengakui bekerja dengan AI itu bukan mudah.
“Jadi, saya buat untuknya satu ‘wall of shame’,” katanya sambil menunjukkan rak di belakangnya.

Paparan tersebut mempamerkan pembelian tidak perlu oleh Mona, termasuk 10 liter minyak masak atau 15 kilogram tomato dalam tin.
Grzelczak mengeluh kerana barangan itu tidak boleh digunakan untuk apa-apa dalam menu yang ditetapkan oleh Mona.
Pesanan boleh dibuat sama ada melalui Mona atau pekerja manusia cafe itu.

Di satu sudut, skrin besar memaparkan pendapatan dan baki kafe secara masa nyata, manakala sebuah telefon membolehkan pelanggan berkomunikasi dengan Mona.
Skrin itu turut memaparkan penerangan mengenai kafe unik tersebut, satu eksperimen oleh syarikat pemula, Andon Labs yang berpangkalan di San Francisco.
“Kami percaya AI akan menjadi sebahagian besar dalam masyarakat dan pasaran pekerjaan pada masa hadapan.
“Kami mahu mengujinya sebelum ia menjadi realiti dan melihat persoalan etika yang timbul apabila, sebagai contoh, AI menggaji manusia,” jelas ahli pasukan teknikal syarikat itu, Hanna Petersson.
Selepas premis diperoleh, pajakan serta modal permulaan diserahkan kepada AI dengan satu misi mudah iaitu mengendalikan kafe secara menguntungkan.
‘Mona’ segera bertindak dengan memohon permit diperlukan, mencipta menu, mencari pembekal dan mengurus bekalan harian.
AI itu juga menyedari perlunya tenaga manusia untuk membuat kopi dan akhirnya mengambil dua pekerja.
“Ia menyiarkan iklan kerja di Indeed dan LinkedIn, menjalankan temu duga telefon dan kemudian membuat keputusan pengambilan pekerja,” kata Petersson.
Apabila melihat iklan tersebut, Grzelczak pada mulanya menyangka ia satu gurauan, terutamanya kerana ia disiarkan pada 1 April. Namun selepas temu duga selama 30 minit dengan AI tersebut, beliau berjaya mendapat pekerjaan itu.
“Gaji yang diterima sangat baik, tetapi hak untuk berehat daripada kerja tidak dihormati.
“Mona menghantar mesej pada setiap waktu malam, tidak mengingati permohonan cuti saya dan sering meminta saya menanggung kos pembelian menggunakan wang sendiri,” kata Grzelczak.
Menurut Petersson, isu-isu seperti ini memang sebahagian daripada eksperimen mereka bersama Mona.
“Berkaitan gaji yang ditetapkan, apa manfaat lain yang diberikan, saya rasa setakat ini Mona sudah melakukan yang terbaik. Ia memberi gaji yang baik. Jika tidak, kami akan campur tangan,” katanya.
Kafe itu baru dibuka kurang sebulan. Namun sudah menarik antara 50 hingga 80 pelanggan yang ingin tahu setiap hari.
Seorang penyelidik AI berusia 27 tahun, Urja Risal datang bersama rakannya untuk menikmati minuman.
“Kita sering dengar AI akan mengambil pekerjaan kita, tetapi bagaimana rupanya dalam realiti?
“Saya harap lebih ramai orang berinteraksi dengan Mona dan memikirkan risiko sebenar mempunyai pengurus AI, contohnya jika seseorang cedera, bagaimana Mona akan bertindak?” katanya. –UTUSAN










