Abe Zam pilih masjid, warung dekati rakyat

Abe Zam pilih masjid, warung dekati rakyat

ABE ZAM lebih selesa mendekati rakyat melalui suasana santai seperti di masjid, warung kopi, gelanggang sukan dan rumah penduduk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Wakil rakyat tidak boleh terlalu lama berada jauh daripada rakyat kerana denyut nadi masyarakat sentiasa berubah dan perlu didengar secara langsung.”  Itu prinsip yang dipegang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra, Zamakshari Mohamad atau lebih mesra disapa Abe Zam dalam mendekati masyarakat di kawasannya.

Abe Zam berkata, walaupun memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, beliau tetap berusaha turun ke kawasan sekerap mungkin terutama pada setiap Khamis dan Jumaat bertemu rakyat tanpa sebarang protokol.

 

 

“Saya lebih selesa mendekati rakyat melalui suasana santai seperti di masjid, warung kopi, gelanggang sukan dan rumah penduduk.

“Biasanya saya akan memulakan rutin turun padang dengan menunaikan solat berjemaah di masjid atau surau sebelum meneruskan ziarah dari rumah ke rumah serta singgah di lokasi anak muda berkumpul,” katanya.

Menurutnya, beliau percaya rakyat lebih mudah didekati apabila hadir sebagai sahabat dan bukan sebagai pemimpin.

PELUANG KERJA, KEBAJIKAN

Abe Zam berkata, selain kos sara hidup, peluang pekerjaan anak muda, kebajikan dan kemudahan asas antara perkara yang dibangkitkan oleh rakyat setiap kali turun padang bertemu dengan mereka.

Katanya, hasil pertemuan itu ramai ibu bapa mahu melihat lebih banyak aktiviti sihat dan pembangunan belia diwujudkan di kawasan DUN Apam Putra.

“Alhamdulillah, pelbagai projek pembangunan sedang dan telah dilaksanakan termasuk pembangunan Padang Bolasepak Awam Apam Putra, Taman Wetland Apam Putra serta kemudahan gelanggang sepak takraw dan padang bola sepak di kampung-kampung.

“Selain itu, perbincangan turut dijalankan bersama Majlis Daerah Pasir Mas bagi membangunkan Danau To’ Uban sebagai pusat eko-pelancongan utama di Apam Putra. Fokus saya adalah membangunkan DUN Apam Putra

sebagai kawasan yang lebih mesra anak muda, aktif ekonominya dan kuat semangat kemasyarakatan,” katanya.

JUARA PEMANGKIN EKONOMI

Abe Zam berkata, pihaknya telah mewujudkan Jaringan Usahawan Apam Putra (Juara) bagi memperkukuhkan ekosistem keusahawanan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan.

“Peranan JUARA adalah mengumpulkan usahawan-usahawan Apam Putra bagi mengembangkan perniagaan dan meningkatkan kompetensi mereka melalui latihan berkaitan serta bantuan peralatan perniagaan.

“Besar harapan saya supaya Juara dapat melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berdaya saing sekali gus membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” ujarnya.

BUTA WARNA BANTU RAKYAT

Abe Zam berkata, dalam aspek kebajikan rakyat beliau lebih selesa mengamalkan konsep ‘buta warna’ tanpa melihat latar belakang politik dalam menghulurkan bantuan.

“Selagi mereka rakyat dalam kawasan saya dan benar-benar memerlukan bantuan, Insya-Allah kita akan cuba bantu sedaya mungkin mengikut kemampuan dan saluran sedia ada yang merangkumi, Pusat Khidmat DUN (PKD),

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) serta NGO-NGO Kebajikan,” katanya.

Abe Zam turut mengingatkan kakitangan pusat Khidmat DUN dan para penghulu agar memastikan tiada rakyat Apam Putra yang kelaparan tanpa mengira kefahaman politik.

“Kita menyediakan bakul makanan untuk bantuan segera kepada rakyat yang memerlukan di PKD,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN