TAPAH: Masalah komunikasi dengan pasukan penyelamat disebabkan kawasan berlembah di Gunung Batu Putih menyukarkan operasi mencari dan menyelamat pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang sejak Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, komunikasi bersama pasukan penyelamat masih terputus dipercayai disebabkan berada di kawasan lembah dan terhalang liputan.
“SAR pada hari ini sedang mengumpul kekuatan keanggotaan tambahan bagi perancangan sekiranya memerlukan tindakan yang bersepadu dan menyeluruh di sektor tumpuan pencarian yang telah ditetapkan.
“Sehingga pukul 10 pagi masih terdapat 21 anggota pasukan penyelamat masih berada dalam sektor pencarian. Pada pukul 1.13 petang seramai 17 anggota APM telah keluar dari kawasan operasi melalui Pos Musoh.
“Sementara itu, pada pukul 2.12 petang, sebanyak 5 orang penyelamat telah terdari dari JBPM (1), Perhutanan (4) keluar melalui Pos Kuala Woh. Terdapat 21 anggota pasukan penyelamat dengan keanggotaan terdiri daripada JBPM (13), Perhutanan (3), MGP(5),” katanya di sini hari ini.
Katanya, maklumat yang diperolehi melalui pasukan SAR pada pukul 1230 tengah hari rakaman kamera Perhilitan di kawasan Bukit Berapit 2 telah diperiksa dan mendapati tiada penemuan gambar mangsa dilaluan berkenaan.
Pasukan SAR bersama anggota Perhilitan telah bergerak ke lokasi kamera di Gunung Rayu untuk mengambil satu lagi kad memori kamera pengawasan.
“Lokasi kamera pengawasan di Gunung Rayu lebih kurang satu kilometer di luar dari trek laluan Sukaneka-Gunung Rayu-Bukit Berapit-Pos Musoh tetapi usaha digerakkan utk memeriksa sekiranya mangsa telah tersasar dari laluan utama dan berkemungkinan melalui laluan kamera tersebut.
“Kawasan ini adalah dalam kawasan Hulu, Jelai, Lipis, Pahang berdasarkan kedudukan koordinat kamera berkenaan,” katanya.
Jelasnya, aktiviti SAR masih dijalankan di sekitar Gunung Rayu oleh anggota bomba dan malim gunung. – UTUSAN










