Mohd. Khairuddin digugurkan daripada AJK Pas - Utusan Malaysia

Mohd. Khairuddin digugurkan daripada AJK Pas

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas, kurang dua bulan selepas dilantik memegang jawatan itu. 

Perkara itu disahkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini, sekali gus menjawab persoalan yang bertiup sejak malam tadi.

Abdul Hadi berkata, pengguguran mana-mana pemimpin adalah perkara biasa dalam Pas sama ada diberhenti atau ditukarkan.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pas yang diadakan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur, kelmarin.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut punca sebenar bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu disingkirkan.

“Urusan itu dikendalikan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Mestilah ada alasan (digugurkan), dalam parti kita ada disiplin. Siapa yang tidak ikut (disiplin), dia boleh ditukarkan jawatan, bertugas di tempat lain, digantung keahlian atau boleh dipecat,” katanya ketika ditanya pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, di sini hari ini.

ABDUL HADI AWANG

Pada 23 November lalu, Mohd. Khairuddin merupakan antara tiga pemimpin tertinggi Pas yang dilantik semula sebagai AJK Pas bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Terdahulu, Mohd. Khairuddin dalam hantaran di laman Facebook malam tadi turut memberi bayangan mengenai situasi menimpanya itu.

Katanya, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam masyarakat kerana manusia mempunyai akal dan ilmu berlainan yang menghasilkan sudut pandang berbeza. 

“Tinggal lagi adalah adab dalam berbeza pendapat dan bagaimana menguruskan perbezaan yang boleh menyuburkan lagi sesuatu perbincangan,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya