KUALA NERUS: Selepas mi segera buluh, pengusaha Meggi Dapo Arang Jijo di Tok Jembal di sini memperkenalkan satu lagi menu baharu, mi segera janda anak ramai sebagai tarikan kepada pelanggan.
Nur Shella Abdullah, 27, berkata, sajian itu menawarkan 100 peratus kepuasan terutama bagi penggemar makanan laut kerana menampilkan ketam, udang galah, udang kara, lala, kupang, siput pahat dan sotong.
Katanya, lebih istimewa apabila mi segera janda anak ramai dihidangkan di dalam kuali, sekali gus menambahkan keterujaan dan membuka selera orang ramai.
“Saya memang ada menjual mi segera makanan laut cuma kuantiti bahan lauk terhad, jadi timbul idea untuk mengolah menu itu dengan memasukkan aneka hidupan laut lain di samping menambahkan saiz juadah.
“Keunikan nama secara tidak langsung membuatkan ramai pelanggan menempah mi segera janda anak ramai dan tidak sangka percubaan kami mendapat permintaan tinggi,” katanya ketika ditemui semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia menyiarkan idea kreatif Nur Shella dan suami, Wan Ahmad Faizul Wan Ahmad Azhar, 29, apabila menjual mi segera yang dimasak dalam buluh bagi menarik lebih ramai pelanggan ke kedai mereka ketika musim tengkujuh.
Sementara itu, Nur Shella berkata, harga hidangan mi segera janda anak ramai bermula antara RM40 hingga RM50 bergantung kepada saiz makanan laut dan pelanggan boleh memilih sama ada mahu sajian tersebut dimasak dengan menggunakan dapur arang atau di dalam lemang.
Katanya, menu itu boleh dimakan sehingga empat orang dengan menambah lagi mi segera.
“Nama menu ini tercetus secara spontan dan kepelbagaian makanan laut yang digunakan, seolah-olah simbolik kepada wanita yang memiliki anak ramai,” katanya. – UTUSAN










