KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya menunaikan janji untuk memastikan harga minyak di Malaysia lebih rendah berbanding Arab Saudi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbandingan harga minyak perlu dibuat dengan negara pengeluar minyak utama, bukannya negara lain yang mempunyai struktur harga berbeza.
Menurut beliau, janji untuk memastikan harga minyak Malaysia lebih rendah berbanding Arab Saudi telah ditunaikan berdasarkan keadaan pasaran semasa.
“Jangan kita banding dengan negara yang bukan pengeluar minyak yang tinggi harganya. Harus banding dengan Qatar dan Saudi.
“Harga minyak di Malaysia ini lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi. Itu dah fakta yang pertama yang harus diingat. Cananglah bagaimanapun, kenyataannya sekarang harga minyak kita lebih rendah.
“Betul, masa kita turun, minta turun RM1.50, harga minyak di Arab Saudi 50 sen. Sekarang kita RM1.99, harga di Arab Saudi lebih daripada RM2.40 dan Qatar, malah UAE, dua bulan lalu menaikkan harga minyak, UAE pengeluar minyak dan gas yang besar.
“Jadi ini kenyataan ekonomi yang berubah. Jadi kalau katakan, saya janji dulu minyak harus lebih rendah dari Arab Saudi. Sudah ditunaikan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanya mengapa harga minyak meningkat ketika ini sedangkan pada zaman Datuk Seri Najib Razak, walaupun harga minyak mentah dunia tinggi, kenaikan harga petrol tidak berlaku pada kadar yang sama.
Tambah Anwar, kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha menambah baik pendekatan ekonomi negara mengikut keadaan semasa.
Menurut beliau, kerajaan tidak mendakwa mempunyai semua penyelesaian terbaik, sebaliknya mengambil kira pandangan pemain industri, syarikat serta golongan pekebun sebelum membuat sebarang penyesuaian dasar.
“Saya tidak pernah mengatakan bahawa kita mempunyai semua ubat yang mujarab dalam ekonomi. Kita harus dengar dan kita ubah suai.
“Sebab itu dalam mesyuarat-mesyuarat kita, kita bukan hanya panggil menteri, tetapi turut memanggil wakil syarikat, wakil pekebun dan mendengar pandangan mereka untuk kita ubah suai perkara yang mampu,” katanya. – UTUSAN










