Dalam dunia keusahawanan yang semakin berkembang, ramai wanita muda tampil membina perniagaan sendiri.
Sebahagian memilih bidang yang dekat dengan pengguna seperti fesyen, kosmetik serta makanan dan minuman (F&B).
Namun, Nurul Aifa Majura, 29, memilih cabaran berbeza apabila menceburi model perniagaan ke perniagaan (B2B).
Pilihan itu membawanya kepada peranan lebih besar apabila membantu syarikat tempatan meneroka peluang, membina jaringan strategik dan menembusi pasaran global.
Sebagai Pengasas Bersama dan Pengarah Finstone Tech Pte. Ltd. yang berpangkalan di Singapura, dia turut membantu syarikat luar mengenal pasti peluang kerjasama dan pengembangan perniagaan di Malaysia.
Antara pasaran yang diberi tumpuan termasuk Asia, Asia Barat dan Eropah, melibatkan sektor teknologi kesihatan, tenaga, penerbangan, pelancongan, pembangunan bakat, transformasi digital serta fasilitasi pelaburan.

Mengimbas perjalanan dalam bidang ini, katanya, ia bermula sejak dua tahun lalu apabila dipelawa rakan kongsi.
Sebelum ini, dia berkhidmat sebagai perunding kewangan di beberapa syarikat terkemuka selama enam tahun.
“Saya rasa sangat bertuah kerana dipertemukan dengan individu yang memberi ruang untuk saya mencuba sesuatu baharu.
“Keberanian mengubah haluan kerjaya ini datang daripada kepercayaan rakan kongsi yang juga mentor saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Baginya, setiap usahawan muda perlu mempunyai mentor yang boleh dijadikan rujukan, berkongsi pengalaman dan memberi panduan apabila berdepan cabaran.
Anak jati Gombak ini turut menggalas peranan sebagai Pengarah QuantumNexis selain penasihat Public Gold.
Malah, dia turut dilantik sebagai duta pelancongan dan kebudayaan Miss Malaysia Kebaya (MMK), sebuah platform yang mengangkat budaya serta memperkasakan wanita.
“Secara tidak langsung, peranan ini memberi peluang untuk saya mempromosikan kepelbagaian dan keunikan warisan budaya tempatan kepada masyarakat dunia,” katanya.
Bantu pendidikan komuniti terpinggir Kesibukan tugas tidak menghalang Nurul Aifa daripada terus aktif dalam kerja kesukarelawanan sebagai bendahari Al-Ikhlas Hope Society.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu memberi tumpuan kepada usaha memperluas akses pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang kehidupan kepada komuniti terpinggir.
Antara inisiatif yang dijalankan termasuk pembangunan sebuah sekolah di Batu Caves sejak enam tahun lalu yang kini menempatkan kira-kira 250 murid.
“Aktiviti NGO memang dekat di hati saya kerana pernah menjadi sukarelawan guru selama dua tahun di sebuah pusat komuniti terpinggir ketika zaman diploma.
“Setiap kali hujung minggu saya ke sana mengajar 20 kanak-kanak yang berusia 5 hingga 7 tahun mata pelajaran Bahasa Inggeris.
“Pada masa itu, kebanyakan mereka masih belum boleh membaca, menulis dan mengira,” katanya.
Untuk menarik minat mereka belajar, dia memilih menggunakan lagu Bahasa Inggeris sebagai salah satu kaedah pembelajaran.
Tiada yang lebih menggembirakan hatinya selain melihat segelintir muridnya berjaya menguasai kemahiran asas membaca.










